Hutan lima hektar terbakar

Setiu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu berjaya memadamkan kebakaran hutan seluas lima hektar di kawasan Merang di sini, hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohd Mazimi Mohamad berkata, operasi memadam itu berakhir kira-kira 2.30 pagi tadi.

Beliau berkata, seramai 35 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Kuala Nerus, Jalan Kota, Wakaf Tapai dan Besut terbabit dalam operasi bermula 7 malam itu.



“Kita menggunakan kaedah relay pumping iaitu kaedah pemadaman dari pam angkut ke pam jentera serta pemadaman menggunakan teknik ofensif bagi memadam dan mengawal kebakaran daripada merebak.

“Kebakaran membabitkan kawasan seluas lima hektar itu berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 2.30 pagi.

“Punca kebakaran hutan itu masih dalam siasatan, namun kita tidak menolak kemungkinan faktor cuaca yang panas menjadi punca kejadian,” katanya.

Mohd Mazimi berkata, pihaknya tetap membuat pemantauan, walaupun kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kerana bimbang kawasan berkenaan akan terbakar semula memandangkan keadaan cuaca yang panas ketika ini.



Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat pembakaran terbuka bagi mengelak kejadian sama berulang.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button