Broja perlu diberi lebih banyak peluang

LONDON: Liga Perdana Inggeris kembali bersambung esok selepas rehat perlawanan antarabangsa dengan Chelsea akan bertandang ke Selhurst Park berdepan Crystal Palace.

Pemain 21 tahun dari Albania, Armando Broja mungkin akan diturunkan dalam kesebelasan utama buat julung kalinya oleh Graham Potter.

Potter memulakan eranya sebagai pengendali di Stamford Bridge dengan keputusan 1-1 menentang Red Bull Salzburg dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah sebelum rehat perlawanan antarabangsa.



Dengan Pierre-Emerick Aubameyang masih mengalami kecederaan di bahagian rahang, Broja yang sebelum ini juga mempunyai masalah kecederaan ringan, mungkin diberi kepercayaan oleh Potter untuk memulakan permainan.

Broja sudah membuat enam penampilan untuk Chelsea musim ini, kesemuanya sebagai pemain gantian.

Penyerang itu turut beraksi dalam perlawanan pertama Potter menentang Salzburg, dan dia membuktikan kemampuannya untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama sulung bersama skuad senior Chelsea.

Prestasi Broja turut mendapat perhatian kelab-kelab lain dan masa depannya di Stamford Bridge mula menjadi tanda tanya.



Kelab Serie A, AC Milan dikatakan berminat mendapatkan khidmat penyerang Albania itu dan satu-satunya cara untuk Potter mengekalkanya bersama Chelsea ialah dengan memberikan lebih kepercayaan kepada Broja untuk membuktikan ketajamannya.

Chelsea kini di tangga ketujuh liga dengan 10 mata selepas enam perlawanan, manakala Palace di tangga ke-16 pada enam mata, dengan jumlah perlawanan yang sama.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button