Majoriti pengguna vape adalah perokok tegar
PETALING JAYA – Majoriti pengguna vape adalah perokok tegar yang bertujuan untuk mengurangkan atau menghentikan terus tabiat merokok dan hanya sebilangan kecil adalah pengguna baharu.
Ini adalah penemuan daripada kajian yang dibiayai Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia menerusi Geran Penyelidikan Universiti Malaysia dan Geran Yayasan Penyelidikan Kesihatan Institut Kanada.
Kajian itu mendapati majoriti pengguna vape adalah perokok dan hanya sebilangan kecil adalah pengguna baru.
2020 ITC Malaysia Survey itu dijalankan oleh barisan cendekiawan dan pakar pelbagai latar belakang, antaranya Amer Siddig Amer Nordin, Farizah Mohd Hairi, Kok Tiong Goh, Pete Driezan, Anne Yee, Nur Amani Ahmad Tajuddin, Siti Idayu Hasan, Mahmoud Danaee, Ina Sharyn Kamaludin, Susan C. Kaai, Mi Yan, Matthew Grey, Anne C.K. Quah, Mary E. Thompson dan Geoffrey T. Fong.
Kajian ini telah dijalankan pada tahun 2020 dan telah diterbitkan dalam talian pada Mac 2022 menerusi laman web tobaccoinduceddiseases.com.
Secara keseluruhan, berdasarkan hasil yang diperolehi 2020 ITC Malaysia Survey, 33.7 peratus rakyat Malaysia dilaporkan pernah menggunakan vape yang dipecahkan mengikut kekerapan, 2.3 peratus menggunakannya secara bulanan, 3.7 peratus sekurang-kurangnya seminggu sekali dan 5.4 peratus menggunakannya setiap hari.
Dari jumlah tersebut, 17.4 peratus merupakan perokok manakala hanya 0.6 peratus adalah dari golongan yang tidak merokok.
Ini membuktikan vape tidak menarik pengguna yang tidak pernah merokok kerana jumlah pengguna baru vape yang menggunakan vape dengan kerap atau boleh dikatakan sebagai pengguna tegar adalah sedikit,
“Kajian berdasarkan pada sampel semasa dari Malaysia mendapati bahawa tiga perempat daripada pengguna melaporkan menggunakan vape untuk mengurangkan atau berhenti merokok, atas sebab kesihatan, dan kerana vape kurang memudaratkan berbanding rokok.
“Bagi pengguna vape harian, sebab paling utama untuk menggunakan vape adalah untuk mengurangkan bilangan rokok yang dihisap (91.3 peratus), rasa cecair yang menyenangkan (90.1 peratus), membantu mereka berhenti merokok (87.9 peratus), dan untuk keseronokan (87.5 peratus),” kata laporan tersebut.
Memetik laporan tersebut, dalam kalangan perokok Malaysia yang juga menggunakan vape, tiga sebab utama yang dilaporkan untuk menggunakan vape secara kerap adalah untuk mengurangkan bilangan rokok yang mereka hisap, berhenti merokok dan juga kerana tertarik dengan rasa.
Laporan tersebut juga menyebut, kebanyakan pengguna vape menyokong dasar yang memerlukan umur pembelian minimum dan mengehadkan nikotin dalam cecair vape.
Sebahagian kecil daripada mereka juga menyokong pengharaman perisa EC.
“Majoriti perokok menyokong undang-undang kawal selia wujudkan dengan 87 peratus daripada mereka yang dikaji, mahukan had umur pembelian vape, 79 peratus mahu kandungan nikotin dikawal, 64 peratus mahu larangan vape di lokasi larangan merokok manakala 23.4 peratus menyokong larangan terhadap cecair vape berperisa buah-buahan dan gula-gula,” demikian menurut laporan tersebut.
Dalam pada itu, laporan tersebut turut berkata, pengawasan berterusan penggunaan vape adalah perlu untuk memantau penggunaannya dalam kalangan mereka yang tidak merokok dan penyelidikan yang lebih meluas perlu dilakukan untuk menentukan kaitan vape dengan kejayaan berhenti merokok.
2020 ITC Malaysia Survey yang mengkaji pola penggunaan rokok elektronik atau vape ini boleh dijadikan rujukan kepada pembuat undang-undang Malaysia untuk menggubal undang-undang berdasarkan bukti di negara ini.
© Utusan Online