FAM ambil iktibar insiden rusuhan di Indonesia



KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan memperketatkan kawalan masuk ke stadium sebagai mengambil iktibar daripada insiden rusuhan di Indonesia malam tadi.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman berkata walaupun Malaysia mempunyai kawalan keselamatan yang baik di stadium, langkah berjaga-jaga perlu bagi mengelakkan insiden di Stadium Kanjuruhan, Malang, Jawa Timur yang meragut ratusan nyawa itu, daripada berlaku di negara ini.

Selain itu, beliau berkata FAM turut akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) kemasukan penyokong ke dalam stadium.

“Memang kami di pihak persatuan (FAM) dan jawatankuasa keselamatan sentiasa berhati-hati. Saya sendiri yakin dengan jawatankuasa keselamatan FAM di bawah Datuk Seri Hazani Ghazali melaksanakan tugas mereka selama ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.



Menurut laporan media, insiden di Stadium Kanjuruhan itu tercetus apabila penyokong Arema FC merusuh selepas pasukan mereka tewas 3-2 ke atas Persebaya Surabaya dan setakat ini dilaporkan 129 maut manakala 180 lagi cedera.

Noor Azman pada masa sama berkata insiden di negara jiran itu perlu dijadikan pengajaran buat penyokong bola sepak tanah air supaya sentiasa menunjukkan semangat kesukanan tinggi, selain perlu bersikap terbuka ketika hadir menyaksikan sebarang perlawanan.

Dalam pada itu, beliau berkata FAM turut berdukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut.

“Kami amat bersimpati dengan apa yang berlaku di Malang semalam dan dengan semangat setiakawan sebagai negara serumpun saya mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dengan tragedi itu,” katanya.

Sementara itu, Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa menzahirkan rasa terkejut dan sedih yang mendalam atas kematian tragis yang berlaku dalam insiden itu.

“Saya amat terkejut dan sedih mendengar berita tragis yang menimpa peminat bola sepak Indonesia. Bagi pihak AFC dan keluarga bola sepak Asia, saya mengucapkan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa.

“Selain mengucapkan semoga cepat sembuh kepada penyokong yang cedera dalam insiden itu, kami juga menzahirkan sokongan kepada Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) dan kelab-kelab bola sepak di negara itu,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker