Kereta keluaran Cherry akan kembali ke pasaran Malaysia



KUALA LUMPUR – Chery International, pengeluar kereta jenama Chery dan OMODA dari China merancang untuk kembali ke pasaran Malaysia tahun depan dengan pengurusan serta operasi lebih tersusun bagi memastikan bakal pelanggan baharu dan sedia ada terus menikmati perkhidmatan dan rangkaian produk terbaik.

Naib Presidennya, Shawn Xu, berkata buat masa ini syarikat automotif terkemuka China yang berpangkalan di Wuhu itu memasuki peringkat akhir untuk memuktamadkan kerjasama dengan syarikat tempatan bagi menubuhkan rangkaian operasi termasuk aspek pengeluaran, jualan dan perkhidmatan selepas jualan.

Katanya, buat masa ini, persiapan ke arah 100 peratus lengkap dan syarikat sedang menunggu kelulusan kerajaan bagi merealisasikan kemunculan semula Chery ke pasaran Malaysia.

“Apabila Chery kembali ke pasaran Malaysia, kami akan melaksanakan pelan pengembangan yang tersusun dan komprehensif.



“Seperti perancangan, semua produk untuk pasaran Malaysia adalah model pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD). Kami masih melihat potensi untuk jenama Chery berkembang di Malaysia meskipun pasaran ini antara yang paling matang di rantau ini,” katanya dalam satu temu bual secara maya bersama bersama BH.

Yang turut serta, Pengarah Penjenamaan Chery International, Kevin Zhang dan Pengurus Pemasaran Chery Malaysia, Leo Xie.

Xu berkata, sebagai pengeluar kereta paling matang dan paling penting dalam industri automotif ASEAN, Malaysia sentiasa menjadi antara pasaran strategik Chery.

“Pada masa hadapan, Chery akan melaksanakan pengeluaran dan CKD, bukan sahaja untuk memenuhi keperluan pasaran Malaysia, tetapi juga untuk mengeksport ke negara lain pada masa hadapan,” katanya.



Mengulas lanjut, Xu berkata, Chery bercadang membawa masuk semua model baharu mulai tahun depan dengan kemungkinan besar kenderaan utiliti sukan (SUV) OMODA 5, Tiggo 7 Pro dan Tiggo 8 Pro.

“Chery akan memberi tumpuan sepenuhnya untuk kembali ke Malaysia kerana kami mahu melakukan yang terbaik bagi memastikan jenama ini kembali mekar di pasaran negara ini,” katanya.

Xu berkata, aspek utama dalam melengkapkan perancangan memasuki semula pasaran Malaysia adalah untuk membina jenama yang lebih teguh, seterusnya meningkatkan keyakinan rakyat negara ini terhadap produk komprehensif yang dimiliki Chery.

“Untuk kereta pemanduan sebelah kanan (RHD), empat model iaitu Tiggo 4, Tiggo 7, Tiggo 8 dan OMODA 5 sudah dilancarkan di Afrika Selatan. Malah untuk pasaran Indonesia dan Australia juga dilancarkan tahun lalu.



“Dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, kami akan memiliki beberapa model RHD termasuk kereta elektrik dan kereta elektrik hibrid plug-in (PHEV), yang mana Malaysia juga akan menerima kemasukan model ini berdasarkan permintaan pasaran. Kami tunggu masa yang sesuai.

“Kami juga melihat potensi dan permintaan di pasaran Malaysia. Mengambil kira keperluan jualan keseluruhan, kami memerlukan model CKD, bukan sahaja untuk memenuhi permintaan domestik, malah akan dipertimbangkan untuk eksport,” katanya.

Mengulas mengenai pengenalan model EV, Xu menjelaskan, Chery dijangka memiliki banyak kenderaan tenaga baharu meliputi segmen A, B, C dan D dalam tempoh dua tahun akan datang.

“Untuk pasaran luar negara, tahun ini kami telah melancarkan EV dan PHEV di pasaran Brazil, dan pasaran lain pula tidak lama lagi, Bagi pasaran Malaysia, kami mungkin melancarkan RHD EV tahun depan,” katanya.



© Berita Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker