Dua lelaki dicekup jual ID judi online di kedai telefon

Oleh – Syeikh Baran


Dua lelaki dicekup jual ID judi online di kedai telefon
Anggota penguat kuasa MPKB-BRI menahan seorang pengemis warga Thailand semasa Operasi Bersepadu di Bazar Buluh Kubu, Kota Bharu semalam. -Foto MUSTAQIM MOHAMED/KOSMO!

Dua pemilik premis yang menjual kad tambah nilai atau ID judi dalam talian merupakan antara 57 individu yang dicekup anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang menjalankan Operasi Bersepadu di sekitar daerah ini semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun itu masing-masing ditahan di premis menjual telefon pintar di Desa Rahmat dan Kampung Mentuan, Binjai di sini.



Yang Dipertua MPKB-BRI, Mohd.Anis Hussein berkata, anggota penguat kuasa menjalankan operasi penyamaran sebelum menahan dua lelaki terbabit dengan salah seorangnya merupakan warganegara Indonesia.

Menurutnya, mereka menjual pelbagai jenis telefon pintar bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum turut menjual ID judi dalam talian di premis berkenaan.

“Anggota penguat kuasa melakukan penyamaran dengan berpura-pura hendak membeli ID judi dalam talian itu sebelum menahan mereka secara berasingan.

“Kedua-dua lelaki terbabit dipercayai mempunyai rangkaian yang sama dan aktif dalam kegiatan judi secara dalam talian sejak tiga bulan lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MPKB-BRI, di sini hari ini.



Mengulas lanjut, Mohd. Anis memberitahu, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada suspek yang menjual telefon pintar di Desa Rahmat kerana gagal mempamerkan lesen perniagaan.

Menurutnya, anggota penguat kuasa MPKB-BRI turut mengeluarkan kompaun kepada pemilik premis di Kampung Mentuan selain menyita sebuah telefon bimbit, buku nota dan sejumlah rokok seludup.

“Seramai 15 individu yang dikenakan tindakan oleh MPKB-BRI, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (20), Jabatan Imigresen (10), Jabatan Kebajikan Masyarakat (10) dan Polis Diraja Malaysia (2) dalam Operasi Bersepadu semalam.

“MPKB-BRI turut mengeluarkan kompaun dan menyita sebuah premis yang menjual vape di Telipot. Selain itu, sebuah kafe di Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa turut dikompaun kerana menyediakan lapan botol shisha.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button