16 tahun keliling Slim River kutip kotak

Slim River: Bukan sehari atau sebulan tidak juga setahun, tetapi sudah 16 tahun warga emas, Mohd Aris Harisdas Abdullah, 65, setiap hari mengelilingi pekan Slim River dengan motosikal roda tiga bagi mencari rezeki, dekat sini.

Tumpuannya, di kawasan premis perniagaan dan sesekali di kawasan perumahan bagi mencari dan mengumpul kotak yang dijadikan sebagai sumber kewangan bagi menyara kehidupan seharian.

Peringkat awal pembabitannya, dia hanya menggunakan motosikal biasa menyebabkan jumlah kotak yang boleh dibawa dan terkumpul agak terhad.



“Dengan menggunakan motosikal biasa, saya tidak mampu membawa jumlah kotak yang banyak dan ada ketikanya terpaksa berulang-alik banyak kali dari kawasan premis perniagaan ke rumah.

“Ketika bekerja sebagai pengawal keselamatan, mencari kotak hanya dilakukan secara sambilan sahaja, tetapi selepas berhenti disebabkan faktor umur, inilah pekerjaan utama sekarang,” katanya.

Hasil perkahwinan dengan isteri, Siti Mariam Kudin yang kini berusia 65 tahun, dia dikurniakan enam anak yang kini berumur antara 24 sehingga 39 tahun.

Empat daripada mereka sudah berumah tangga.



Kotak terpakai yang dikumpul dijual 40 sen sekilogram dan setiap hari dia mampu mengumpul kira-kira 40 kilogram (kg) sahaja kerana perlu bersaing dengan pencari kotak yang lain.

Dia yang juga seorang mualaf mengakui dengan menggunakan motosikal roda tiga menjadikan kerja mencari dan mengumpul kotak menjadi lebih mudah, malah mampu membawa jumlah kotak yang banyak.

Katanya, motosikal roda tiga terbabit disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) melalui Program Pemerkasaan Asnaf pada 2018.

“Memang terasa penat, tetapi rezeki saya selepas pada suatu hari ketika saya mencari kotak, tiba-tiba terserempak dengan salah seorang pegawai Baitulmal.



“Pegawai terbabit bermurah hati dan prihatin melihat kesusahan saya lalu mencadangkan saya memohon motosikal roda tiga daripada pihak Baitulmal,” katanya.

Di samping itu, dia juga menerima bantuan bulanan RM 300 sebulan daripada pihak Baitulmal dan pekerjaan yang dilakukan ini sebagai tambahan sumber pendapatan bagi menjamin kelangsungan hidup.

Setiap hari, sekurang-kurangnya empat kali dia akan mengelilingi kawasan premis perniagaan bagi mencari dan mengumpul kotak terpakai.

Mohd Aris Haridas berkata, ada segelintir pemilik premis perniagaan yang baik hati akan mengumpul kotak terpakai terlebih dahulu sementara menunggu dia datang mengambil di premis terbabit.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button