Tonggak muda resipi aksi konsisten Arsenal

London: Kemenangan Arsenal 3-2 ke atas Liverpool bukan sahaja membawa mereka kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi menunjukkan pasukan Mikel Arteta mempunyai asas yang kukuh dan percaya kepada diri sendiri untuk menjadikan mereka pencabar kejuaraan.

Arsenal kadangkala menjadi salah satu pasukan EPL yang paling menarik tetapi dihantui dengan kerapuhan mental dan kecenderungan mereka bergelut menentang lawan di kedudukan lebih atas.

Sekarang masalah itu tidak berlaku lagi dan dalam dalam perlawanan menentang pasukan Juergen Klopp, yang mencabar Manchester City sepanjang perjalanan dalam perebutan kejuaraan musim lalu, mereka bangkit dua kali.



Ia kali kedua Arsenal menewaskan Liverpool di EPL dalam tempoh tujuh tahun terakhir tetapi prestasi itu mengesahkan keazaman baharu pasukan itu.

Untuk perlawanan di tempat sendiri liga empat kali berturut-turut, mereka sama ada ketinggalan atau bolos gol penyamaan tetapi masih menang, menewaskan Fulham, Aston Villa dan saingan utara London, Tottenham Hotspur.

“Saya melihat pasukan yang sudah saya kenal pasti, personaliti ditunjukkan pada saat-saat sukar,” kata Arteta.

Arsenal terkenal dengan kehadiran pemain muda berkualiti sejak Arsene Wenger menjadi pengurus pada 1996 walaupun kekurangan kejayaan selepas kali terakhir muncul juara liga pada 2004 akibat mereka tidak mempunyai pemain senior yang mencukupi.



Bagaimanapun, pasukan Arteta juga dibantu oleh kehadiran pemain muda.

Purata umur kesebelasan utama mereka ketika menentang Liverpool ialah 24 tahun, dengan penjaring gol Gabriel Martinelli dan Bukayo Saka masing-masing berusia 21 tahun.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button