Jenazah pelumba drag, Apeh Jamal selamat dikebumikan

IPOH: Jenazah pelumba drag pelumba ‘drag’, Muhamad Hafez Jamal Jamaludin, 40, yang maut ketika perlumbaan di Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, di Terengganu selamat dikebumikan pagi ini.

Lebih 200 sanak-saudara dan rakan taulan membanjiri kawasan Tanah Perkuburan Islam Meru Raya, di sini bagi memberi penghormatan terakhir.

Suasana bertambah hiba apabila kelihatan van yang membawa jenazah diiringi kira-kira 100 kenalan arwah memasuki kawasan perkuburan kira-kira jam 9.30 pagi sebelum upacara pengkebumian selesai kira-kira 10.10 pagi tadi.



Bapa dan isteri Allahyarham, Norhasyimah, 37, bagaimanapun tidak sedia untuk ditemu bual pemberita, berikutan sedih dengan pemergian Allahyarham.

Terdahulu, jenazah Muhamad Hafez atau lebih dikenali sebagai Apeh Jamal dilapor dibawa dari Terengganu malam tadi sebelum disembahyangkan kira-kira jam 9.00 pagi di Masjid Al-Muttaqin, Meru Raya, di sini.

Muhamad Hafez Jamal maut selepas kereta dipandunya dipercayai terbabas sebelum merempuh sebatang pokok ketika menyertai perlumbaan Battle Of The King (BOTK) 2022 anjuran MUSC Motorsport di Litar Perlumbaan Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Arwah anak ketiga daripada lima beradik meninggalkan isteri dan dua anak berusia tujuh dan 11 tahun.



Difahamkan, insiden kemalangan itu menyebabkan penganjur menangguhkan perlumbaan berkenaan serta-merta yang sepatutnya berakhir hari ini dan akan ditangguhkan ke suatu tarikh lain, bagi menghormati mangsa dan keluarga.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button