Mangsa ‘scammer’ rugi lebih RM365,000

Oleh – Syeikh Baran


Mangsa 'scammer' rugi lebih RM365,000
Foto Hiasan

Seorang pesara dan jururawat, masing-masing dari Lipis dan Jerantut mengalami kerugian berjumlah RM365,388 selepas terpedaya sindiket penipuan secara dalam talian.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata berdasarkan laporan, pesara lelaki berusia 55 tahun berminat menyertai satu skim pelaburan saham patuh syariah yang dijanjikan keuntungan lumayan pada awal Disember tahun lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya membuat pemindahan wang sebanyak RM500 dan memperolehi keuntungan sebanyak RM110.



“Selepas itu, suspek meminta mangsa mendaftar satu portal untuk melihat pergerakan saham.

“Dalam tempoh sebulan bermula 17 Disember lalu, mangsa diminta untuk membayar cukai dan membuka akaun bagi memperolehi wang pelaburan.

“Berikutan itu, mangsa membuat 14 kali transaksi kepada lima akaun berbeza sehingga mengalami kerugian berjumlah RM260,388,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam kes di Jerantut pula, Yahaya berkata, jururawat berusia 50 tahun menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) pada 26 November lalu.



Katanya, suspek memaklumkan bahawa wanita terbabit dalam kes pengubahan wang haram sebelum talian disambungkan kepada individu yang kononnya menyamar sebagai pegawai polis.

“Mangsa diminta untuk membuat pemindahan wang sebanyak 10 kali transaksi kepada empat empat akaun bank yang berlainan bagi tujuan siasatan sehingga mengalami kerugian sebanyak RM105,000.

“Sumber kewangan mangsa adalah pinjaman dan hasil jualan barang kemas milik mangsa.

“Dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.



Sumber – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button