Polis lupus dadah RM2.2 juta dirampas sejak 1997

Kuala Terengganu: Polis kontinjen Terengganu melupuskan dadah bernilai RM2.2 juta yang dirampas sejak 25 tahun lalu.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, pelupusan kali ini membabitkan 4,258 kertas siasatan di tujuh daerah dalam kontinjen Terengganu dari 1997 hingga tahun ini yang selesai melalui proses perundangan.

Menurutnya, kesemua dadah yang dilupuskan adalah barang kes yang sudah mendapat kebenaran mahkamah untuk dilupuskan.



“Berat keseluruhan dadah yang dilupuskan hari ini sebanyak 294,139.87 gram (294.1 kilogram) dan 6441.72 liter yang dianggarkan bernilai RM2.2 juta.

“Ini kes tangkapan membabitkan suspek sudah dijatuhkan hukuman mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952,” katanya pada ketika ditemui selepas Majlis Serahan Barang Kes Narkotik Untuk Program Pelupusan Barang Kes Narkotik Terengganu 2022, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK), di sini, hari ini.

Menurutnya, dadah yang dilupuskan iaitu pil yaba, syabu, heroin, ganja, ubat batuk, daun dan air ketum, eramin 5, dan pil ekstasi.

Mengulas mengenai barang kes pada 1997 yang masih wujud, beliau berkata, ada di antara kes 1997 yang baru selesai dan baru mendapat arahan mahkamah untuk dilupuskan.



“Kebanyakannya adalah kes membabitkan 2000 ke atas tapi bila diperiksa rekod yang masih ada, kertas siasatan 1997,1998 kes yang belum selesai jadi apabila selesai, kita campur sekali.

“Selagi tidak dapat arahan mahkamah kita tidak boleh buat pelupusan dan kesemua dadah yang dilupuskan hari ini diserahkan kepada Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd, yang mempunyai lesen bagi mengendalikan barang buangan berjadual untuk tujuan pelupusan,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button