GTA kacau, pecah undi Melayu
KEHADIRAN calon GTA di Parlimen Shah Alam tidak dipedulikan warga Shah Alam yang sedar bahawa perjuangan GTA hanya untuk kepentingan individu.
Oleh Rohana Man
SHAH ALAM – Tindakan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Mahathir Mohamad membentuk Gerakan Tanah Air (GTA) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hanya bertujuan untuk pecah dan kacau undi pengundi Melayu.
Selaku Pengerusi Penaja GTA, Mahathir tahu bahawa parti-parti yang bergabung di bawahnya tidak mempunyai kemampuan untuk memenangi mana-mana kerusi Parlimen yang dipertandingkan.
Di Parlimen Shah Alam, GTA meletakkan Muhammad Rafique Rashid Ali dari parti Pejuang untuk bertanding.
GTA merupakan gabungan parti-parti politik terdiri daripada parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti Putra Bumiputera Perkasa Melayu (Putra), serpihan PAS iaitu parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).
Pada PRU15 ini, GTA mempertaruhkan 121 calon kerusi Parlimen di seluruh negara.
Tinjauan MyTV Online di sekitar bandar raya Shah Alam mendapati kempen dan ceramah yang dianjurkan jentera pilihan raya Rafique kurang mendapat sambutan.
Kehadiran Rafique di Shah Alam seolah-olah tidak disedari penduduk Shah Alam dan perkara tersebut diakui Mahathir yang terpaksa turun padang baru-baru ini bagi membantu kempen Rafique.
Seperti sudah dijangka, Mahathir tidak mahu mengaku kalah, sebaliknya meletakkan kesuraman kempen calon pilihannya ke bahu parti lawan yang dituduh menggunakan duit curi untuk menyediakan bahan kempen seperti bendera, bunting, risalah dan papan iklan yang dipasang di kiri dan kanan jalan raya serta lokasi strategik.
Tidak faham apa sebenarnya yang Mahathir mahukan, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Shah Alam, Isham Jalil berkata, tindakan Mahathir itu lebih kepada usaha untuk memecah dan mengacau undi daripada kaum Melayu.
“Itu yang saya tak faham. Pejuang (Mahathir) ni…apa yang dia Pejuang nak buat. Nak pecah undi Melayu?,” soalnya ketika menyampaikan ceramah umum di Seksyen 7 dekat sini, semalam.
Menurut Isham, apa yang beliau tahu adalah Mahathir tidak suka Anwar Ibrahim yang dipecatnya dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 1998.
“Mahathir suka ke tidak Anwar? Tak suka kan, tapi apa strategi yang dia buat ini. Nak pecah undi Melayu.
“Yang menang, siapa? Anwar Ibrahim. Betul tak? Yang menangnya PH. Bila PH menang, dah ada satu ahli Parlimen yang sokong Anwar Ibrahim, betul tak?,” soalnya kepada orang ramai yang membanjiri Padang Permainan Seksyen 7.
Soalan beliau disambut dengan jawaban…,betul…betul yang sekali gus memecah suasana malam.
Dalam ceramah umum itu, Isham merayu agar undi pada 19 November ini diberikan kepadanya kerana perjuangan yang dilaungkannya adalah untuk rakyat, bukan perjuangan untuk mengangkat individu sebagai Perdana Menteri.
“Kita undi hari Sabtu…,hari Jumaat tu, awak pakat-pakatlah.
“Kalau awak tak nak Anwar Ibrahim menang, tak nak PH menang, tak nak DAP menang, tak nak PAN menang…semua yang menyokong Pejuang, PPBM dan PH…bagilah undi kepada BN,” rayu Isham.