‘Tiada perbincangan BN gabung dengan mana-mana parti lepas PRU15’

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) menegaskan tiada sebarang perbincangan dibuat kepemimpinan tertinggi parti berhubung soal bergabung dengan mana-mana parti politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata bagaimana perbincangan itu boleh dibuat sedangkan ‘Top 5’ parti sibuk berkempen di kawasan masing-masing.

“Tak ada (perbincangan). Saya di kawasan, mana ada (perbincangan) kita ‘Top 5’, memang tak ada.



“Semua ini (bergabung) timbul daripada pihak lain. Memang tak pernah (bincang) sebab kita masing-masing sibuk berkempen,” katanya selepas Majlis Ramah Mesra bersama Veteran UMNO Kota Tinggi di FELDA Pasak di sini, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga calon BN Parlimen Kota Tinggi berkata, beliau percaya isu bergabung antara parti itu dibangkitkan kerana parti lain melihat BN akan menang dalam PRU15.

Katanya, parti lain dilihat cuba memposisikan kedudukan masing-masing seolah-oleh mahu BN melamar mereka.

“Saya percaya semua itu (bergabung) dibangkitkan kerana mereka lihat BN akan menang, jadi semua sudah cuba memposisikan parti masing-masing supaya agaknya mahu BN melamar mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Perikatan Nasional (PN) yakin dapat membentuk kerajaan hasil gabungan dengan parti lain terutama BN selepas PRU15.



Takiyuddin dilaporkan berkata, beliau menjangkakan BN akan menerima penggabungan itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu kemudian disanggah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyatakan mereka bertanding pada PRU15 untuk menang dan menubuhkan kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau Pakatan Harapan (PH).

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button