Magis Renard julang Arab Saudi



Al Rayyan, Qatar: Penyokong Arab Saudi meraikan kemenangan sensasi pasukan mereka ke atas Argentina di Piala Dunia semalam dan jurulatih dari Perancis, Herve Renard pantas dijulang sebagai wira negara.

Arab Saudi tidak pernah menang aksi pertama mereka di Piala Dunia termasuk dibelasah 0-8 oleh Jerman pada 2002 dan tewas 0-5 kepada Rusia pada 2018.

Mereka ketinggalan selepas Lionel Messi menjaringkan penalti Argentina tetapi mendapat suntikan semangat daripada Renard ketika rehat bagi membolehkan pasukannya bangkit mencipta kemenangan mengejut 2-1 ke atas juara dunia dua kali itu.

Renard berusia 54 tahun mencipta nama sebagai jurulatih pada 2012 dan membawa Zambia menjuarai Piala Negara Afrika kali pertama ketika musim keduanya mengendalikan pasukan itu.



Dia kemudiannya mengendalikan Ivory Coast yang menjuarai gelaran Afrika pada 2015 selepas menewaskan Ghana sebelum membawa Maghribi ke Piala Dunia kali pertama dalam tempoh 20 tahun.

Selepas tewas kepada Iran dan Portugal pada 2018, Maghribi tampil cemerlang ketika seri 2-2 dengan Sepanyol dan kemudiannya menjuarai Piala Negara-Negara Afrika pada 2019, kali pertama sejak 1976.

“Ketika saya tekad melatih pasukan ini (Arab Saudi) tiga tahun lalu, saya mendapat semua sokongan daripada presiden badan bola sepak dan Kementerian Sukan,” kata Renard selepas tamat perlawanan menentang Argentina.

“Ketika kami bertemu Putera (Mohammed bin Salman), dia tidak meletakkan tekanan kepada kami dan ini baik kerana adanya tekanan boleh menjejaskan pasukan.”



Renard bukan sahaja jurulatih teknikal tetapi pakar motivasi yang hebat.

“Kami mempunyai jurulatih ‘gila’ yang memberikan kami arahan dan memotivasikan kami ketika rehat,” kata pemain tengah Arab Saudi, Abdel-Ilah al-Maliki kepada stesen televisyen Al-Kass.

Renard turut menggesa penyokong Arab Saudi memberikan sokongan lebih padu pada baki saingan Kumpulan C menentang Poland dan Mexico.

Reuters





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker