‘Kami tetap bersaudara’



AL WAKRAH: Jurulatih Cameroon, Rigobert Song bangga dengan ‘adik bongsunya’ Breel Embolo sekalipun penyerang Switzerland itu meledak gol kemenangan berdepan skuad kendaliannya pada saingan Kumpulan G Piala Dunia di Stadium Al Janoub, sebentar tadi.

Embolo yang lahir di Yaounde menjaringkan gol kemenangan menentang negara kelahirannya selepas 48 minit permainan tetapi enggan meraikan jaringan itu.

Song kelihatan bercakap dengan Embolo selepas perlawanan dan mengucapkan tahniah kepadanya.

“Kami mengenali antara satu sama lain, dia adalah adik bongsu saya.



“Kami sering berbual antara satu sama lain di telefon dan saya ucapkan tahniah kepadanya. Ia adalah perlawanan yang adil. Hanya kerana kami mewakili pasukan berbeza, tidak bermakna kami tidak lagi bersaudara,” kata Song.

Di sebalik mengakui kesilapan pasukannya atas kekalahan itu, Song bangga Embolo berjaya menjaringkan gol di Piala Dunia.

“Dia tidak meraikan jaringannya, tetapi ini semua sebahagian daripada bola sepak.

“Saya gembira dan bangga dengannya. Dia bersama pasukan kebangsaan Switzerland dan saya juga mahu pemain dengan bakat sepertinya dalam pasukan saya, tapi ini adalah kehidupan.



“Bagi kami apa yang penting adalah bagaimana kami beraksi di dalam padang, apa yang kami lakukan dengan lebih baik, daripada bimbang mengenai siapa yang menjaringkan gol menentang kami.”

Cameroon mendominasi di awal permainan dan mempunyai tiga peluang terbaik menjaringkan gol namun mereka gagal memberikan impak pada babak kedua.

“Secara umumnya dalam bola sepak, apabila anda menguasai permainan anda juga perlu menjaringkan gol. Tidak memadai jika berjaya menguasai bola sahaja. Kami terlepas penyudah terakhir (menjaringkan gol), kami sangat teruja untuk menang namun gagal menjaringkan gol,” kata Song.

Reuters





Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker