Kedudukan Pandelela, Dhabitah mungkin diketahui akhir bulan ini

Oleh – Syeikh Baran


Kedudukan Pandelela, Dhabirah mungkin diketahui akhir bulan ini
Teka-teki mengenai kedudukan dua penerjun negara, Pandelela dan Nur Dhabitah dalam senarai program RTG berkemungkinan akan diketahui pada mesyuarat jawatankuasa program itu akhir bulan ini. Foto fail Bernama

Teka-teki mengenai kedudukan dua penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri dalam senarai program ‘Road to Gold’ (RTG) berkemungkinan akan diketahui pada mesyuarat jawatankuasa program itu akhir bulan ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau tidak mempunyai jawapan spesifik berhubung persoalan itu sekali gus berharap semua pihak dapat menunggu keputusan yang akan dimuktamadkan nanti.

“Saya tahu ramai hendak bertanyakan mengenai sukan terjun, namun perlu menunggu hingga mesyuarat RTG.

“Pastinya kecewa (prestasi skuad terjun) tetapi saya nak dengar dahulu penjelasan daripada persatuan sukan, jurulatih dan pengarah teknikal mereka.

“Majlis Sukan Negara (MSN) sedang mengatur untuk bertemu dengan mereka,” katanya ketika ditemui pada Majlis Menandatangani Penajaan CIMB Group Holdings Berhad kepada pemain golf negara, Ervin Chang di sini pada Isnin.

Pandelela dan Nur Dhabitah merupakan atlet terkini dalam program RTG yang gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas aksi mengecewakan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha, Qatar minggu lepas.

Beliau dalam masa sama memaklumkan bukan sesuatu yang mudah untuk membuat sebarang keputusan terutama dalam portfolio sukan memandangkan ia membabitkan prestasi seseorang atlet.

“Dalam ucapan saya tadi ia merujuk kepada portfolio belia dan sukan.

“Belia perlu diberikan sokongan supaya peluang kedua itu wujud buat mereka, namun untuk sukan, ia berasaskan prestasi kerana kita tahu dalam perjalanan seseorang atlet, ada masa mereka naik dan ada masa turun.

“Ada atlet yang jatuh perlu bangun semula.

“Ia bukan keputusan menteri sahaja saya perlu mendapatkan bantuan pakar,” katanya.

Hannah berkata, pihaknya dalam masa sama akan membincangkan tentang kriteria atlet bagi dipilih menyertai Program RTG ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 pada mesyuarat jawatankuasa tersebut.

Sementara itu, ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini, Pandelela dan Nur Dhabitah bersedia menerima kemungkinan digugurkan daripada program RTG selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024 itu.

Pandelela terlepas tiket ke Paris selepas pulang awal dalam acara 10 meter (m) platform, selain menduduki tempat ke-12 keseluruhan dalam acara 10m platform seirama bergandingan bersama Nur Dhabitah.

“Saya memang tahu, RTG ini adalah satu keistimewaan tapi tak bermakna ia meletakkan atlet dalam zon selesa, anda perlu buktikan yang anda layak untuk berada dalam program itu.

“Saya terima apa juga keputusan yang akan dibuat dan saya ingin berterima kasih kepada pihak RTG kerana menyokong dan membantu saya selama ini, misalnya pertolongan yang dihulurkan ketika Sukan Asia Hangzhou.

“Cuma tuah tidak berpihak kepada saya untuk Sukan Olimpik kali ini,” katanya.

Sementara itu, Nur Dhabitah, yang dibelenggu kecederaan triseps sebelum kejohanan dunia itu bermula, turut gagal menyerlah dalam acara kegemarannya 3m papan anjal apabila hanya menduduki tempat ke-24 dengan mengumpul 238.15 mata.

Beliau kemudian bergandingan bersama Wendy Ng bagi acara 3m papan anjal seirama dan hanya mampu meraih 258.30 mata untuk berada di tempat kesembilan, sekali gus gagal mara ke pentas final.

“Saya tidak kisah kerana seperti saya katakan, saya tahu saya tidak beraksi seperti mana yang dimahukan.

“Saya memilih untuk tunggu dahulu sebelum membuat sebarang perancangan untuk diri saya,” kata Nur Dhabitah.

Pada Oktober lepas, jawatankuasa RTG mengumumkan pengguguran atlet daripada program itu, termasuk pasukan hoki lelaki kebangsaan yang gagal mencapai sasaran pingat emas yang mereka sendiri tetapkan di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Atlet badminton juga digugurkan membabitkan pasangan beregu campuran persendirian, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, selepas penilaian semula terhadap prestasi mereka.

Sumber – SINAR HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker