Ringgit dijangka terus susut berbanding dolar AS

Bersara dengan tenang, ini 6 perkara anda perlu tahu tentang Surat Penyelesaian Cukai (SPC)
Setiap pekerja pastinya mahu bersara dengan tenang tanpa perlu memikirkan hal-hal yang memeningkan mereka.

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka berada dalam aliran menurun minggu hadapan kerana kenaikan kadar faedah yang agresif oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat baru-baru ini dan petunjuk bahawa kenaikan akan berlaku lagi akan terus menjejaskan mata wang, kata seorang penganalisis.

“Permintaan untuk aset selamat dijangka terus meningkat, ia memberi tekanan kepada mata wang pasaran pesat membangun terutamanya ringgit,” katanya.

Ringgit ditutup pada paras terendah dalam tempoh 24 tahun pada Jumaat, ia didagangkan pada 4.5775/5800 berbanding dolar AS daripada 4.5340/5365 ketika ditutup pada Khamis minggu lepas.

Ia melepasi paras 4.57 apabila dolar AS terus mengukuh selepas kenaikan kadar faedah yang terbaru sebanyak 0.75 mata peratusan oleh bank pusat Amerika Syarikat untuk mengatasi inflasi yang kekal tinggi bagi tempoh 40 tahun.



Harga minyak yang lebih rendah turut menjejaskan mata wang tempatan.

Ketua Penyelidikan dan Penasihat Kekayaan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata apabila dolar mencapai paras baharu, perniagaan berorientasikan eksport akan meraih hasil kerana eksport mereka akan dilihat murah.

Minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kadar pertukaran ringgit yang fleksibel merupakan dasar penting dalam mengimbangi keperluan untuk menyerap kejutan luaran untuk menyokong aktiviti ekonomi domestik walaupun dalam keadaan pasaran kewangan dan kadar pertumbuhan ekonomi global yang tidak menentu.

Beliau menjelaskan bahawa kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) akan sentiasa memastikan keadaan pasaran kewangan yang stabil dan lancar serta mengambil langkah proaktif untuk menyediakan kecairan yang mencukupi dan pasaran berdaya tahan bagi memastikan kestabilan ringgit.



Semalam, BNM berkata ia akan terus memantau dengan teliti dan memastikan keadaan pasaran kewangan yang teratur dalam persekitaran perkembangan luar yang telah membawa kepada kekuatan dolar AS yang berterusan berbanding hampir semua mata wang termasuk ringgit.

Bagaimanapun, BNM berkata bahawa pergerakan ringgit akan terus ditentukan pasaran dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dan menjadi pengantara dengan berkesan.

Bagi minggu yang baru berakhir, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.0957/0985 daripada 5.2214/2242 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.4686/4710 daripada 4.5317/5342 minggu lepas.

Unit tempatan menokok berbanding dolar Singapura kepada 3.2130/2152 daripada 3.2238/2261 bagaimanapun merosot berbanding yen Jepun kepada 3.2091/2113 daripad 3.1647/1666 sebelumnya.

– Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker