Henti tuduhan liar pada ibu bapa Zayn Rayyan -peguam

Oleh – Syeikh Baran


Henti tuduhan liar pada ibu bapa Zayn Rayyan -peguam
MAHMUD

Peguam bela, Mahmud Jumaat meminta orang ramai agar menghentikan tuduhan liar terhadap anak guamnya yang merupakan ibu bapa kanak-kanak autistik mati dibunuh di sekitar Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini Disember tahun lalu.

Perkara itu ditegaskan beliau selepas pasangan suami isteri berusia 29 tahun ditahan sekitar Puncak Alam kelmarin dan direman selama seminggu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, di sini, semalam.



“Saya mohon hentikan spekulasi terhadap anak guam saya kerana perkara ini masih dalam siasatan pihak polis.

“Mereka boleh dikira sebagai memfitnah sekiranya hasil siasatan mendapati bahawa anak guam tidak bersalah malah kami boleh mengambil tindakan undang-undang dengan membuat tuntutan saman fitnah kepada sesiiapa yang membuat tuduhan liar dan jahat sehingga menjatuhkan reputasi anak guam,

“Semestinya mereka (anak guam) akan ambil tindakan kerana reputasi mereka dan keluarga telah tercalar,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pasangan suami isteri berusia 29 tahun yang direman semalam, beliau memaklumkan tiada perkembangan terbaharu diperoleh berhubung siasatan.



“Buat masa ini belum ada perkembangan,” ujarnya ringkas.

Dalam hantaran terbaharunya di Facebook hari ini, beliau menasihati orang ramai agar berhati-hati dalam membuat sebarang komentar dan tuduhan liar sehingga boleh menjatuhkan reputasi serta merosakkan emosi ibu bapa.

“Perlu sedar bahawa mereka juga ada ibu bapa dan keluarga terdekat yang sedang mengikuti kes ini. Saya hanya khuatir sekiranya kita terlanjur kata dengan membuat hantaran jelik dan memfitnah tanpa kita sedar boleh menyebabkan anda dikenakan tindakan undang-undang atas saman fitnah atau melakukan kesalahan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sekiranya dibuktikan mereka tidak bersalah.

“Kerana itulah saya nasihatkan semua jangan membuat sebarang spekulasi, tuduhan liar dan jahat kepada kedua ibu bapa Zayn Rayyan ini dan teruskan berdoa agar Allah SWT melicinkan proses siasatan untuk mencari pihak yang bertanggungjawab bagi kes ini.



“Saya sendiri juga sangat ternanti-nanti hasil siasatan dan ingin tahu siapa pelaku yang kejam ini. Semoga kes ini selesai secepat mungkin,” tulisnya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button