‘Maghribi lawan sangat sukar’ – Busquets

DOHA: Kapten Sepanyol, Sergio Busquets membayangkan pertemuan skuadnya menentang Maghribi pada pusingan 16 terakhir Piala Dunia ‘pasti amat sukar’.

Selepas aksi Kumpulan E dan F berakhir Khamis lalu, juara Kumpulan F Maghribi dan naib juara Kumpulan E, Sepanyol bertembung pada pusingan 16 Piala Dunia di Stadium Education City, Selasa ini.

Menurut UK Sports, Busquets menafikan spekulasi menyatakan pasukan Eropah itu lega kerana berakhir di tangga kedua Kumpulan E, menyaksikan mereka dijadual menentang Maghribi bukannya naib juara kejohanan lalu Croatia.



“Kami mahu menang dan muncul juara kumpulan. Kami pergi ke satu lagi bahagian undian, tetapi ia tidak menjamin laluan yang lebih mudah atau sukar,” kata pemain tengah berusia 34 tahun itu.

Jepun mengungguli Kumpulan E selepas menewaskan Sepanyol 2-1 pada aksi ketiga dan terakhir kumpulan kelmarin.

“Kami tidak mahu ini berlaku, hasrat kami untuk menang (menentang Jepun). Untuk meneruskannya, kami berdepan Maghribi pada pusingan 16 yang mana ia satu perlawanan yang amat sukar,” tambah Busquets.

Bintang veteran Barcelona itu menganggap kekalahan Sepanyol di tangan Jepun sebagai ‘memalukan’ dan menekankan perlunya skuad Eropah itu meningkat dan ‘mengatasi kesilapan’ menjelang pertemuan dengan Atlas Lions.



Piala Dunia yang sedang berlangsung di negara Teluk itu banyak menghasilkan kejutan setakat ini bermula kemenangan 2-1 Arab Saudi ke atas Argentina yang menggemparkan dunia bola sepak.

Selain itu, Piala Dunia juga menyaksikan beberapa pasukan gergasi dunia yang menghuni ranking lebih tinggi tersingkir pada peringkat kumpulan.

Jerman gagal melepasi peringkat kumpulan bagi kejohanan kedua berturut-turut sekalipun mengalahkan Costa Rica 4-2, ketika Jepun dan Sepanyol menghuni dua tangga teratas kumpulan itu.

Salah satu pilihan awal kejohanan, Belgium yang hadir pada Piala Dunia Qatar di tangga kedua ranking FIFA turut tersingkir pada pusingan awal selepas Maghribi dan Croatia masing-masing berakhir sebagai juara dan naib juara Kumpulan F.



AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button