Switzerland ada ‘senjata’ benam Portugal – Shaqiri

DOHA: Xherdan Shaqiri percaya Switzerland mempunyai ‘senjata yang lengkap’ untuk melangkah ke suku akhir Piala Dunia, namun mereka perlu bekerja secara berpasukan sekiranya mahu menjinakkan Portugal yang dibarisi Cristiano Ronaldo pada pusingan 16 terbaik, Rabu ini.

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan itu adalah di Liga Negara-Negara pada Jun lalu yang menyaksikan Switzerland tewas 4-0 sebelum bangkit dengan kemenangan 1-0, namun ia bukan ukuran sekiranya sudah memasuki pusingan kalah mati.

“Bagi saya, ia sesuatu yang sangat berbeza kerana tiada perlawanan persahabatan, ini bukannya Liga Negara-Negara, tekanannya lebih tinggi dan sekarang ini adalah penting pemain dapat mengawal tekanan itu.



“Kami perlu satu prestasi yang istimewa, jujurnya Portugal adalah sebuah pasukan yang baik dan bagi saya mereka adalah pasukan pilihan dalam perlawanan ini, tetapi kami tahu kualiti yang kami miliki.

“Kami akan cuba melakukan yang terbaik, prestasi yang lebih baik dan cuba memberikan cabaran yang banyak kepada mereka dalam perlawanan nanti,” kata Shaqiri yang berusia 31 tahun.

Pemain sayap itu meledak jaringan ketika Switzerland meraih kemenangan 3-2 ke atas Serbia untuk menempah tempat di pusingan 16 terbaik bertemu Portugal dan pertembungan berkenaan pastinya lebih mencabar buat mereka.

“Kunci utamanya untuk mendapatkan prestasi yang istimewa daripada keseluruhan pasukan kerana seperti mana kamu tahu, kami adalah Switzerland, kami tidak mempunyai Cristiano dalam pasukan ini,” kata Shaqiri.



“Sebagai sebuah pasukan, kami sentiasa memperoleh kejayaan dan ia pasti akan diterapkan pada perlawanan itu nanti. Semua orang perlu bersama, andai semuanya dapat mencapai tahap prestasi tertinggi mereka, maka saya pasti kami mempunyai peluang untuk mara.”

Reuters


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading