Mangsa banjir tak mahu ke PPS, bimbang harta benda dicuri

PASIR MAS: Segelintir mangsa banjir enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana beranggapan bencana yang berlaku ‘ tidak besar’ dan ingin berada di kediaman masing-masing.

Kebanyakan mangsa juga memberi alasan sayangkan harta benda dan bimbang ia dicuri apabila mereka meninggalkan kediaman masing-masing.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah, berkata anggota keselamatan menasihati mangsa terbabit dan memujuk mereka untuk berpindah demi keselamatan.



“Mereka enggan berpindah ke PPS atas alasan sayangkan harta benda.

“Kita memberi jaminan kepada mereka untuk tidak khuatir kerana pasukan keselamatan sentiasa melakukan rondaan di kawasan yang dinaiki air ini bagi memastikan keselamatan harta benda mangsa banjir.

“Setakat ini, tidak ada laporan mengenai kecurian harta benda mangsa banjir,” katanya pada sidang media di Balai Polis Repek, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nik Aminuddin berkata, cuaca di negeri itu beransur pulih, hari ini dan paras air Sungai Golok juga menunjukkan trend penurunan, dengan bacaan 9.56 meter berbanding 9.66 meter, tiga hari lalu.



“Hujan sudah berhenti dan air sungai juga sudah menurun. Saya menjangkakan keadaan banjir akan bertambah baik dan mangsa banjir akan berkurangan bermula hari ini dan selepas dua tiga hari, mereka boleh pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, 10 kampung di daerah Pasir Mas dan Rantau Panjang dinaiki air, antaranya Kampung Serongga, Kampung Kubang Pak Hitam, Kampung Gading, Kampung Bendang Perol Tok Deh dan Kampung Bukit Lata.

Pada masa sama, katanya, jalan di kampung yang terjejas banjir ditutup kepada kenderaan ringan berikutan paras air setinggi 0.2 hingga 0.8 meter di kawasan terbabit.

Beliau berkata, seramai 170 anggota, membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga untuk penugasan banjir.



BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading