Bursa Malaysia bermula lemah pagi ini

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan trend penurunan semalam pada pagi ini, menjejaki penurunan Wall Street selepas sesi tidak menenti di tengah-tengah meningkatnya kebimbangan berlaku kemelesetan di Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh 0.29 peratus, atau 4.33 mata, kepada 1,472.76 daripada penutup Isnin pada 1,477.09.

Petunjuk pasaran itu dibuka 3.36 mata lebih rendah pada 1,473.73.



Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung 153 berbanding 122, manakala 210 kaunter tidak berubah, 1,753 tidak diniagakan dan 12 lagi digantung.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 169.51 juta unit bernilai RM52.98 juta.

Bagaimanapun, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, berkata sentimen di bursa tempatan dijangka bertambah baik selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meraih usul undi percaya semalam.

“Kemenangan itu akan membersihkan suasana ketidaktentuan dalam kancah politik dan mengukuhkan keyakinan pelabur untuk bergerak ke hadapan.



“Oleh itu, kami menjangkakan indeks akan berada dalam aliran 1,475 dan 1,490 hari ini dengan tumpuan kepada bank dan saham perladangan,” katanya kepada Bernama.

Pak Leng menambah, stok perladangan diunjur menyaksikan beberapa pembelian hari ini kerana harga minyak sawit mentah kembali kepada sekitar RM4,000 satu tan memandangkan cuaca buruk semasa yang mungkin menjejaskan bekalan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank susut dua sen setiap satu, masing-masing kepada RM8.69 dan RM4.38, Petronas Chemicals turun tiga sen kepada RM8.48, CIMB lemah satu sen menjadi RM5.77 manakala TNB berkurangan lima sen kepada RM9.26.

Bagi saham aktif, Leform menokok dua sen 23.5 sen, Cengild Medical menambah 2.5 sen kepada 51 sen, Sunview meningkat 1.5 sen menjadi 63 sen dan Advance Synergy susut satu sen kepada 19.5 sen, manakala Serba Dinamik tidak berubah pada 1.5 sen.



Di papan indeks, Indeks FBM Emas menguncup 23.94 mata kepada 10,578.06, Indeks FBMT 100 lebih rendah sebanyak 25.35 mata menjadi 10,283.19, Indeks FBM Emas Syariah 25.75 mata lebih rendah pada 10,718.48, Indeks FBM 70 berkurangan 10.60 mata kepada 12,938.98 dan Indeks FBM ACE lemah 8.04 mata kepada 5,469.76.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 8.05 mata menjadi 6,863.49, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.04 mata kepada 181.18, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan lemah 35.76 mata kepada 16,522.08.

Bagaimanapun, Indeks Tenaga meningkat 0.86 mata menjadi 788.02.

-BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button