Bursa Malaysia sekali lagi dibuka rendah

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih rendah pada Rabu meskipun dengan peningkatan semalaman di Wall Street, di tengah-tengah kegelisahan pasaran mengenai kadar faedah berikutan langkah Bank of Japan (BoJ) untuk memperketat dasar monetarinya, menurut penganalisis.

Pada 9.05 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.05 peratus atau 0.77 mata kepada 1,466.55 daripada 1,467.32 pada Selasa.

Saham pandu pasaran dibuka merosot 0.31 mata kepada 1,467.01.



Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 126 berbanding 110, manakala 220 kaunter tidak berubah, 1,808 tidak diniagakan dan 22 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 106.11 juta unit bernilai RM40.13 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, FBM KLCI senada dengan kemerosotan pasaran selepas BoJ melebarkan jalur dibenarkan untuk hasil jangka panjang kepada 50 mata asas (bps) daripada 25 bps semalam.

“Bagaimanapun, kami yakin indeks utama dijangka pulih di tengah-tengah kemerosotan penjualan besar-besaran daripada pelabur asing serta lantunan semula semalaman di Wall Street.



“Malah, aktiviti memperelok akaun mungkin bermula menjelang akhir tahun,” kata firma pembrokeran itu dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagi komoditi, harga minyak mentah Brent diniagakan di bawah AS$80 manakala harga minyak sawit mentah susut di bawah RM3,950 berikutan penurunan eksport dari Malaysia mencetuskan kebimbangan mengenai permintaan lebih lemah, katanya.

Menurutnya sektor pembinaan dan bahan binaan mungkin mendapat perhatian berikutan persetujuan Kementerian Pengangkutan untuk mengkaji semula lima projek pembangunan dengan jumlah nilai kontrak RM650 juta.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat satu sen kepada RM8.71, Petronas Chemicals menambah enam sen kepada RM8.24 dan CIMB susut tiga sen kepada RM5.79, manakala Public Bank dan TNB masing-masing tidak berubah pada RM4.37 dan RM9.18.



Bagi saham aktif, Nylex (M) meningkat 4.5 sen kepada 36.5 sen, Opcom menokok tiga sen kepada 76 sen, YX Precious Metals naik 1.5 sen kepada 25 sen, manakala Industronics susut setengah sen kepada 10.5 sen dan Jaks Resources berkurangan 1.5 sen kepada 26.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 0.26 mata kepada 10,533.11, Indeks FBM Emas Syariah menokok 5.38 mata kepada 10,646.45, Indeks FBM 70 mengukuh 21.35 mata kepada 12,884.56, manakala Indeks FBM ACE naik 25.18 mata kepada 5,499.51.

Bagaimanapun, Indeks FBMT 100 susut 0.38 mata kepada 10,239.84.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan merosot 33.57 mata kepada 6,788.01 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 17.90 mata kepada 16,530.45.



Indeks Tenaga pula naik 3.32 mata kepada 786.52 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.39 mata kepada 178.12.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button