Sekolah akan agihkan Bantuan Awal Persekolahan kepada murid

KUALA LUMPUR: Peruntukan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 kepada semua murid yang diumumkan kerajaan, Selasa lalu, akan disalurkan ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan sekolah terlebih dahulu sebelum diagihkan secara tunai atau dikreditkan ke dalam akaun murid.

Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan, peruntukan BAP itu akan dikreditkan ke akaun sekolah seawal 12 Januari 2023 dan sekolah diminta mengagihkan bantuan itu kepada murid secepat mungkin sejurus menerima peruntukan berkenaan.

Katanya, tiada sebarang borang atau dokumen perlu diisi oleh murid atau ibu bapa sebelum menerima BAP.



“KPM juga tidak menyediakan sebarang talian khusus. Segala penjelasan lanjut berkaitan BAP boleh dirujuk melalui Surat Pekeliling Kewangan Bilangan 20 Tahun 2020: Bantuan Awal Persekolahan di laman sesawang rasmi KPM,” kata KPM menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 di Dewan Rakyat memaklumkan, kerajaan bersetuju menyalurkan BAP bernilai RM150 kepada semua murid, tanpa mengambil kira had pendapatan ibu bapa, pada Januari 2023.

Beliau berkata, langkah itu penting untuk mempersiapkan murid dengan kelengkapan sekolah yang sewajarnya, selain memberi perbelanjaan bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan pembelian buku teks.

Dalam pada itu, menjawab soalan murid mana yang layak menerima BAP 2023, KPM memaklumkan, bantuan berkenaan akan diberikan kepada pelajar yang memenuhi kriteria seperti warganegara Malaysia dan murid Tahun Satu sehingga Tingkatan 5 atau yang setaraf dengannya bagi sesi Persekolahan 2023/2024.



Kriteria lain adalah mereka pelajar di Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK), Sekolah Agama, Sekolah Swasta Persendirian yang berdaftar dengan kerajaan, Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Sekolah Intergriti dan Sekolah Henry Gurney.

BHOnline


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading