Telur 2,000 papan hanya untuk 200 pengguna

KUALA TERENGGANU: Bekalan telur ayam di negeri masih tidak mampu untuk menampung permintaan pengguna.

Tinjauan di dua syarikat pemborong di Cabang Tiga dan di Jalan Sultan Sulaiman, di sini, mendapati hanya 2,000 papan mengandungi kira-kira 60,000 biji telur ayam pelbagai saiz diperolehi daripada pengeluar.

Beberapa lagi syarikat pemborong, termasuk berhampiran Pasar Cabang Tiga, di sini hanya memperolehi bekalan sebanyak 5,000 papan mengandungi 150,000 biji, Khamis lalu.



Tinjauan di dua cawangan syarikat pemborong, yang menjual secara runcit mendapati, orang ramai terutama peniaga kedai makan beratur panjang seawal 8.30 pagi untuk mendapatkan bekalan.

Syarikat pemborong itu mengehadkan jualan hanya 10 papan mengandungi 300 biji untuk setiap pengguna.

Tinjauan turut mendapati, tercetus pertengkaran mulut antara pekerja syarikat pemborong dan pengguna yang beratur di barisan belakang apabila bekalan telur sebanyak 2,000 papan kehabisan sebelum tiba giliran sedangkan mereka sudah beratur antara 30 hingga 45 minit.

Pengguna turut berpendapat, jualan daripada 10 papan perlu dikurangkan kepada lima papan.



Pengguna, Abdullah Tahir, 59, dari Bukit Besar, berkata dia sudah bertanya sama ada bekalan telur masih mencukupi atau sebaliknya sebelum mengambil keputusan untuk turut sama beratur.

Bagaimanapun, katanya pekerja syarikat pemborong itu hanya mengambil sikap mendiamkan diri walaupun ketika itu lebih 200 pengguna sedang beratur untuk mendapatkan bekalan.

“Kita mengambil masa lebih setengah jam beratur, tetapi apabila tiba giliran pekerja syarikat pemborong itu memaklumkan bekalan telur habis,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Syarikat Bigpoly Supplies, Fuan Chai Feng, berkata kali terakhir syarikat menerima bekalan sebanyak 3,500 papan mengandungi 105,000 biji Khamis lalu.



Katanya, bekalan diperolehi itu diagihkan kepada tiga cawangan termasuk di Cabang Tiga, Gong Badak dan di Jalan Sulaiman.

“Kita dimaklumkan pekerja, bekalan telur ayam yang dijual di tiga cawangan itu habis dalam tempoh empat jam,” katanya turut memberitahu belum menerima maklumat daripada pengeluar bila bekalan baharu akan diterima.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button