Enggan susahkan keluarga, 2 beradik rela tinggal di rumah berdindingkan kanvas

Kuala Krai: Melihat kesukaran hidup dua beradik yang mendiami rumah hanya berdindingkan kanvas di Kampung Pasir Jering, di sini, sungguh meruntun hati.

Seakan tidak percaya kediaman yang kelihatan tidak ubah seperti stor penyimpanan barang itu didiami Mohd Ayob Mat Noor, 31, bersama adiknya Mohd Amirul Zaman, 23, dalam keadaan serba daif, selain tidak ada kemudahan elektrik.

Menurut Mohd Ayob, rumah yang didiami itu adalah rumah pusaka arwah nenek mereka, namun terbakar pada November tahun lalu sehingga memusnahkan keseluruhan bahagian ruang tamu, dan kini hanya tinggal ruang dapur yang kecil untuk berteduh.



“Rumah pusaka peninggalan arwah nenek berada dalam keadaan baik serta dilengkapi kemudahan elektrik sebelum ini, namun segala-galanya musnah selepas kejadian kebakaran dua bulan lalu menyebabkan kami kini menggunakan lilin untuk menerangi waktu malam,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Jering, baru-baru ini.

Terdahulu badan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society yang diwakili Pengerusinya, Che Norhayati Mohamed hadir menziarahi dua beradik berkenaan.

Mohd Ayob berkata, arwah nenek, Che Wok Hussin menjaganya sejak kecil, manakala ibu dan ayah pula menetap di Kampung Telekong.

“Ibu dan ayah ada mengajak kami tinggal bersama, tetapi enggan kerana tidak mahu menyusahkan mereka berikutan rumah yang dihuni kini adalah bantuan daripada kerajaan untuk mangsa banjir 2014 yang turut diduduki bersama adik-beradik lain dan bimbang menjadi sesak jika kami berdua menumpang.



“Jadi saya dan adik mengambil keputusan untuk terus menetap di rumah pusaka ini walaupun ia serba kekurangan,” katanya.

Katanya, dia dan adiknya tidak mampu membina semula rumah pusaka berkenaan kerana memerlukan modal besar, tambahan pula mereka sekadar bekerja kampung dengan pendapatan yang hanya cukup bagi perbelanjaan harian sahaja.

“Memandangkan rumah kami berdindingkan kanvas selain tidak berpintu, sudah beberapa kali haiwan berbisa seperti ular memasuki kediaman ini, cuma bernasib baik kami dapat menyedari kehadiran haiwan berkenaan.

“Bagaimanapun, saya sentiasa memantau keadaan sekeliling termasuk di bahagian dalam dan luar rumah kerana bimbang berlaku perkara yang tidak diingini.



“Justeru itu, saya berharap ada pihak yang sudi membantu membaiki rumah pusaka ini supaya lebih selesa untuk didiami,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohd Ayob di talian 0182677621.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button