Penganggur direman disyaki minta rasuah RM200,000

565787bb7f722c279e8d07e8f20b38b15e1d8125c97c1

SHAH ALAM, 24 Nov — Seorang penganggur yang dipercayai berperanan sebagai ‘orang tengah’ untuk mendapatkan projek syarikat minyak dan gas direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM200,000.

Perintah reman hingga Ahad itu dikeluarkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Shah Alam Norliza Hussin selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Menurut sumber, lelaki berumur 46 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor sekitar 2.30 petang semalam selepas hadir memberi keterangan.



Difahamkan, suspek dipercayai meminta wang rasuah itu bagi mewakili bapa saudaranya yang merupakan naib presiden sebuah anak syarikat minyak dan gas sebagai balasan membantu mendapatkan projek pemasangan paip gas di negeri di pantai timur.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Sementara itu di mahkamah sama, Norliza turut memerintahkan seorang kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) direman empat hari bermula hari ini kerana disyaki meminta rasuah berjumlah RM200 daripada seorang individu.

Suspek yang bertugas di Unit Kandang Anjing di sebuah PBT itu meminta wang rasuah sebagai balasan melepaskan dua ekor anjing milik individu tersebut selepas haiwan berkenaan ditangkap kerana berkeliaran di tempat awam.



Menurut sumber, lelaki berumur 59 tahun itu ditahan di pusat kurungan haiwan PBT terbabit dalam satu operasi oleh SPRM Cawangan Klang kira-kira 4.30 petang semalam

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan kedua-dua suspek terbabit.

Disyaki terlibat Macau Scam, judi dalam talian, 20 anggota dan pegawai polis ditukar



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button