KEJUTAN BESAR UMNO?
Tatatertib samada gantung, surat tunjuk sebab atau pecat?
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Perhimpunan Agung Umno – PAU 2022 telah berakhir Sabtu lepas, dikhabarkan akan berlaku kejutan pasca PAU2022, Jumaat ini.
Kejutan tersebut dipercayai ada hubungkait dengan tatatertib Parti terhadap Ahli Umno sepanjang PAU2022.
Cubaan menyelidik maksud kejutan Pasca PAU2022 mendapati ia berkaitan dengan tohmahan yang dilemparkan terhadap Umno oleh ahli Umno sendiri.
Ini termasuk dakwaan kononnya ada pengundi hantu yang dibawa masuk ke Dewan Merdeka dan sidang media bertentangan dengan keputusan yang diputuskan perwakilan semasa berlangsungnya PAU.
Agak memalukan apabila ada pemimpin Umno yang menggunakan sumber video tidak sahih kononnya tempat duduk perwakilan sudah disediakan untuk pengundi hantu.
Lebih menjijikkan, ada kalangan pemimpin Umno sendiri yang berlakon seolah dirinya bersih dan betul mengikut situasi semasa ketika membuat keputusan menyokong Perikatan Nasional untuk mengangkat Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun, pemimpin tersebut tidak memberi respon sewajarnya mengenai dakwaan oleh Presiden PAS terhadapnya. Seolah beliau menjadi ‘mangsa keadaan’, lakonan pemimpin tersebut ternyata sumbang di mata perwakilan Umno.
MENGAPA ADA PEMIMPIN BERSUARA DI LUAR DEWAN SEPERTI IKAN BELUKANG?
Kemusykilan terbesar dari keseluruhan PAU2022 berlaku pada hari terakhir perhimpunan. Seorang pemimpin Umno telah membuat sidang media berasingan dari kepimpinan dan mendakwa berlaku pelanggaran Perlembagaan dalam meluluskan usul yang disokong Perwakilan Umno.
Agak menggelikan hati apabila pemimpin tersebut sendiri tidak berani membuat laporan kepada ROS dan mengharapkan pihak ketiga berbuat demikian. Mengapa? Tindakan bacul sedemikian hanya akan menyelongkar lebih banyak kebobrokan pemimpin tersebut.
Sikap ‘rumah siap, pahat berbunyi’ hanya akan menyukarkan kesemua ahli parti untuk kembali teguh bersama Umno. Malah, tindakan segelintir pemimpin Umno itu hanya membuka jurang yang lebih besar terhadap perpecahan dalaman Umno itu sendiri.
Jelas sekali, semangat, setiakawan, setia parti sudah tidak lagi berada dalam kamus politik mereka. Sebaliknya, untuk memastikan agenda yang dirancang tidak menemui kegagalan, mereka sanggup menyerang parti sendiri asalkan matlamat tercapai.
Memalukan, itu sahaja perkataan sesuai dengan tindakan bacul segelintir pemimpin Umno yang ditemui pada hari terakhir PAU2022.
Biarpun ada ‘suara sumbang’ mempertikaikan keputusan para perwakilan Umno, mesej jelas dan terang telah ditunjukkan mereka pada PAU2022.