Ibu mangsa kemalangan kecewa layanan doktor di Hospital Pasir Mas

Kota Bharu: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menjalankan siasatan berhubung dakwaan pesakit diberi layanan buruk ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pasir Mas (HPM) yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin berkata, pihaknya sedia maklum dengan kenyataan ibu remaja lelaki berusia 16 tahun itu.

“Kita sedang siasat perkara itu,” katanya menerusi WhatsApp di sini, hari ini.



Terdahulu, Azimah Abdullah Zawawi memuat naik luahan tidak puas hati di Facebook yang mengatakan anaknya tidak diberi rawatan sewajarnya ketika menerima rawatan di HPM pada Sabtu lalu.

Menurutnya, anak lelakinya cedera di muka dan mulut akibat terbabit dalam kemalangan sebelum di hantar ke Unit Kecemasan HPM.

Bagaimanapun katanya, sebaik luka di mulut anaknya dijahit, doktor meminta Adam Mikhail Nor Azrean dibawa pulang walaupun keadaan anaknya ketika itu masih lemah dan mengalami muntah-muntah.



“Saya dan suami merayu supaya anak dimasukkan ke hospital untuk pemantauan kerana keadaan anak yang masih lemah, namun doktor yang merawat memberi alasan wad penuh selain menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya.

“Berkali-kali saya merayu selain meminta anak dipindahkan ke Hospital Raya Perempuan Zainab II (HRPZ II) memandangkan keesokan anak perlu dirujuk ke Pakar Bedah Mulut HRPZ II, namun alasan sama turut diberikan.

“Kecewa dengan situasi itu, saya membawa anak ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan agak mengejutkan apabila pegawai yang memeriksa anak meminta jahitan di mulut dibuka semula kerana dijahit dengan begitu ‘daif’, selain dimaklumkan anak mengalami retakan di muka dan patah dagu yang memerlukan rawatan lanjut,” katanya.



Justeru, beliau memohon supaya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNK membuat pemantauan terhadap sikap dan tindakan kakitangan yang bertugas kerana ia membabitkan nyawa.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button