Bursa Malaysia teruskan momentum peningkatan



KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan aliran kenaikan semalam apabila dibuka lebih tinggi hari ini, disokong oleh belian berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih walaupun sentimen berhati-hati terus ketara di pasaran serantau, kata peniaga.

Pada 9.15 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.63 mata kepada 1,497.85 daripada 1,496.22 pada penutupan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.66 mata lebih baik pada 1,496.88.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 178 berbanding 135 manakala 224 kaunter lain tidak berubah, 1,655 tidak diniagakan dan 10 lain digantung dagangannya.



Jumlah dagangan sebanyak 187.99 juta unit bernilai RM87.04 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd menjangkakan trend di bursa tempatan semalam mungkin bertukar negatif menjelang cuti Tahun Baharu Cina selepas Wall Street meneruskan penyusutannya di tengah-tengah kebimbangan mengenai aktiviti ekonomi lebih perlahan selain pendirian Rizab Persekutuan AS (Fed) yang cenderung menaikkan kadar faedah.

Dalam nota penyelidikannya hari ini, firma pembrokeran itu berkata, FBM KLCI mencatat keuntungan pada Khamis berikutan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

“Dari aspek komoditi, minyak mentah Brent diniagakan melebihi AS$86 setong manakala harga minyak sawit mentah (MSM) kekal melebihi RM3,850 sekilogram,” katanya.



Menurutnya, keputusan BNM menangguhkan kenaikan OPR itu berkemungkinan besar akan mencetuskan aktiviti pengambilan untung, khususnya bagi sektor perbankan.

“Sektor teknologi mungkin terjejas akibat penurunan di Wall Street. Pelabur pula mungkin meminati sektor tenaga dalam keadaan harga minyak mentah yang kukuh manakala sektor pengguna, pelancongan, penerbangan dan REIT berkemungkinan menjadi keutamaan pemulihan berikutan pembukaan semula sempadan China,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank untung satu sen kepada RM8.81, Public Bank dan Petronas Chemical masing-masing tidak berubah pada RM4.29 dan RM8.50, CIMB menambah enam sen kepada RM5.75 manakala Tenaga Nasional susut tiga sen kepada RM9.47.

Bagi saham aktif, Velesto Energy susut setengah sen kepada 20 sen, Reach Energy dan CSH Alliance masing-masing tidak berubah pada enam sen dan 6.5 sen, Hibiscus Petroleum dan ECA Integrated masing-masing menokok tiga sen kepada RM1.13 dan RM1.01.



Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 12.57 mata kepada 10,825.27, Indeks FBMT 100 mengukuh 12.60 mata kepada 10,516.87 dan Indeks FBM Emas Shariah meraih 4.25 mata kepada 11,071.17.

Indeks FBM 70 meningkat 21.25 mata kepada 13,487.23 dan Indeks FBM ACE naik 9.83 mata kepada 5,458.83.

Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 24.31 mata kepada 16,506.32, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.36 mata kepada 188.20, Indeks Perladangan menambah 17.37 mata kepada 6,842.95 dan Indeks Tenaga naik 2.93 mata kepada 842.90.

BERNAMA





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker