Satu kes Demam Babi Afrika dikesan di Negeri Sembilan

Seremban: Orang awam dan penternak babi di Negeri Sembilan diminta segera melaporkan kejadian kematian babi hutan atau ternakan babi komersial kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Ia berikutan terdapat satu kes positif penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan, Dr Kamarulrizal Mat Isa berkata, pihaknya menerima laporan kematian seekor babi hutan jantan dewasa di Ladang Sengkang, Pasir Panjang, Port Dickson pada 3 Januari lalu.



Katanya, pekerja ladang menemui bangkai babi hutan yang sudah mereput dan sampel tulang diambil untuk ujian lanjut.

“Keputusan ujian makmal secara ‘real time PCR’ menunjukkan ianya positif penyakit ASF,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah kawalan dan pencegahan penyakit ASF, surat pemakluman kejadian penyakit dikeluarkan kepada semua pejabat perkhidmatan veterinar daerah dan negeri.

“Surat pemakluman turut dipanjangkan kepada penduduk tempatan melalui ketua kampung, persatuan, pemburu babi hutan, penternak babi komersil serta agensi-agensi yang berkaitan seperti pejabat daerah dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan).



“Larangan memburu babi hutan turut dikeluarkan oleh pihak Perhilitan,” katanya.

Katanya, bagaimanapun sehingga kini, jangkitan penyakit ASF di Negeri Sembilan adalah terkawal.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button