Kapal persiaran terbesar dunia mula belayar

Oleh – Syeikh Baran


Kapal persiaran terbesar dunia mula belayar
Kapal Icon of the Seas milik Royal Caribbean International berlayar dari Miami dengan kapasiti untuk 8,000 penumpang membabitkan 20 geladak, mengambil kesempatan daripada populariti pelayaran yang semakin meningkat. – Foto AGENSI

Kapal pesiaran terbesar di dunia dijadual memulakan pelayaran sulungnya hari ini, namun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar bimbang ia akan menyebabkan pelepasan metana ke atmosfera.

Icon of the Seas, milik Royal Caribbean International, berlayar dari Miami dengan kapasiti 8,000 penumpang membabitkan 20 geladak.

Ia beroperasi menggunakan gas asli cecair (LNG) yang pembakarannya lebih bersih berbanding bahan bakar marin tradisional tetapi membabitkan risiko lebih tinggi bagi pelepasan metana.

NGO berkata, risiko kebocoran metana daripada enjin kapal terhadap iklim tidak dapat diterima kerana kesan berbahaya bagi jangka pendek.

Pengarah Program Marin di International Council on Clean Transportation (ICCT), iaitu pusat pemikiran dasar alam sekitar, Bryan Comer, berkata ia adalah langkah yang salah.

“Kita menganggarkan penggunaan LNG sebagai bahan bakar marin menyebabkan lebih 120 peratus pelepasan gas rumah hijau dalam kitar hayat berbanding minyak gas marin,” katanya.

Metana 80 kali lebih buruk dalam tempoh 20 tahun berbanding karbon dioksida, menjadikan pengurangan pelepasannya adalah kaedah mengekang pemanasan global.

Berdasarkan pakar industri, kapal pesiaran seperti Icon of the Seas menggunakan enjin bahan bakar bertekanan rendah yang melepaskan metana ke atmosfera ketika proses pembakaran, dikenali sebagai ‘methane slip’.

Terdapat dua enjin lain digunakan pada kapal kontena atau pengangkut besar yang menghasilkan kurang metana, namun ia terlalu tinggi untuk dimuatkan dalam kapal pesiaran.

Sementara itu, Royal Caribbean berkata, pelepasan karbon kapal berkenaan adalah 24 peratus lebih cekap berbanding kadar ditetapkan Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO).

Ketua Pegawai Operasi Sea-LNG, pertubuhan advokasi industri, Steve Esau, berkata LNG mengeluarkan kurang gas rumah hijau berbanding minyak bakar rendah sulfur (VLSFO) yang memacu kebanyakan kapal penghantaran global. – REUTERS

Sumber – BERITA HARIAN

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker