Tanah runtuh terus berlaku!

Kuala Lumpur: Pada tengah hari 11 Disember 1993, negara dikejutkan dengan kejadian blok kondominium tumbang disebabkan tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Ulu Kelang, dekat sini. Tragedi Highland Tower itu meragut 48 nyawa.

Awal pagi 6 Disember 2008, kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa menyebabkan empat maut dan 17 cedera. Sebanyak 14 kediaman dilaporkan musnah dalam kejadian itu.

Pada 16 Disember lalu, negara sekali lagi dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh melibatkan nyawa. Tragedi di kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor itu mengorbankan 31 nyawa termasuk 12 kanak-kanak dan seorang bayi.



Tragedi yang dipetik ini hanyalah sebahagian daripada insiden tanah runtuh yang meragut nyawa di negara ini.

Sejarah merekodkan kejadian pertama tanah runtuh membabitkan nyawa berlaku pada 17 Disember 1919 di Bukit Tunggal, Ipoh, Perak. Seramai 12 orang maut dalam kejadian yang disebabkan jatuhan blok batu kapur itu.

Menurut pakar alam sekitar, negara akan terus menyaksikan kejadian tanah runtuh berikutan beberapa faktor termasuk perubahan iklim global yang membawa impak besar kepada Malaysia menerusi kadar hujan yang tinggi.



Memetik laporan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, dalam tempoh Monsun Timur Laut dari November 2021 hingga Mac 2022, negara merekodkan 23 kes tanah runtuh. Jabatan itu juga mengenal pasti 31 kawasan berisiko tanah runtuh sepanjang tahun lalu.

Dalam laporan media pada 16 Disember lalu, pakar alam sekitar, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelestarian, Akademi Profesor Malaysia Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo berkata, kebanyakan kejadian tanah runtuh berlaku disebabkan air permukaan meresap ke dalam cerun ketika hujan.

Katanya, apabila keadaan itu berlaku, tanah akan tepu air sekali gus menjejaskan kestabilan tanah.

Dalam pada itu, Pengarah Pemuliharaan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) Malaysia, Dr Henry Chan berkata, gangguan di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) seperti cerun bagi tujuan pembangunan juga menyebabkan ketidakstabilan tanah.



Mengulas lanjut, beliau berkata, setiap pembangunan perlu mematuhi KSAS yang dibahagikan kepada tiga peringkat.

“Peringkat satu, sebarang pembangunan, pertanian dan pembalakan tidak dibenarkan sama sekali; peringkat dua tiada pembangunan atau pertanian tetapi pembalakan lestari dan pelancongan semula jadi berimpak rendah dibenarkan, tertakluk pada kekangan tempatan.

“KSAS peringkat tiga ialah pembangunan terkawal dengan jenis dan keamatan hendaklah dikawal ketat bergantung pada sifat kekangan,” katanya.

Chan berkata, amat penting bagi kawasan pergunungan mempunyai hutan sebagai pelindung aliran air semasa musim tengkujuh.



“Hutan boleh mengekalkan lebihan air hujan, mengelakkan aliran air terlampau kuat dan mengurangkan kerosakan akibat banjir. Ia juga boleh membantu mengurangkan kesan kemarau.

“Jika hutan rosak, banjir kilat dan tanah runtuh akan berlaku,” katanya menambah kerajaan perlu memperkukuh Rancangan Fizikal Negara keempat (RFN) khususnya mengenai KSAS untuk pembangunan mampan tanpa menyebabkan kehilangan biodiversiti.

Sementara itu, pakar hutan yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM) Tan Sri Dr Salleh Mohd Nor menyarankan agar penguatkuasaan terhadap pembangunan tanah diberikan kepada kerajaan negeri.

“Kita sudah ada akta dan enakmen yang kukuh dalam mengawal sebarang salah laku tanah dan alam sekitar, cuma kuasa penguatkuasaan dan pelaksanaan akta seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri kerana mereka mempunyai kuasa mutlak terhadap tanah.



“Perlu ada penguatkuasaan penuh di peringkat negeri bagi memastikan ia lebih berkesan,” katanya.

Menurutnya, sekalipun negara mempunyai undang-undang dan peraturan yang ketat khususnya bagi mengawal aktiviti di kawasan terlarang, tahap pematuhan masih lemah.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button