‘Keibubapaan digital’ pantau aktiviti anak dalam media sosial

Usaha mendidik anak pada masa kini memberi cabaran bagi ibu bapa kerana zuriat hari ini kebanyakannya menggunakan sumber dan peralatan pembelajaran dalam talian.

Perkembangan revolusi teknologi maklumat (IT) lebih luas memberikan kesan positif dan negatif, terutama kepada anak. Ibu bapa tidak lagi boleh membesarkan anak dengan cara sama seperti zaman ibu bapa membesar.

Anak memerlukan gaya keibubapaan dan corak perhubungan khusus. KemahiranC lebih penting daripada sebelumnya. Bermakna, kemahiran keibubapaan dipraktikkan haruslah bersesuaian dengan tahap perkembangan anak dan peredaran semasa.



Kemahiran keibubapaan digital ditakrifkan sebagai skala kemampuan ibu bapa menggunakan alat digital, peranti dan aplikasi komunikasi dan rangkaian untuk mencapai serta menyusun maklumat ketika mendidik anak supaya relevan dengan trend didikan abad ke-21.

Keupayaan dan potensi ibu bapa mendidik anak mereka dalam era digital ini bergantung kepada keupayaan mengamalkan konsep ‘keibubapaan digital’.

Ibu bapa lebih berkebolehan mengeluarkan idea, berkomunikasi dengan berkesan dan mencari penyelesaian kreatif untuk masalah dalam kehidupan seharian apabila mereka celik digital.



Bagaimanapun, kebanyakan ibu bapa tidak mengetahui langkah perlu dipatuhi dan diikuti bagi tujuan peningkatan kemahiran digital untuk memupuk nilai kehidupan institusi keluarga.

Ia disebabkan kemahiran keibubapaan terdahulu lebih tertumpu kepada kebolehan dalam bidang interaksi, berkomunikasi dan mendisiplinkan anak.

Dalam keadaan situasi semasa, ibu bapa berperanan penting membantu menggalakkan aktiviti seharian memberi peluang wujud perkembangan kecerdasan yang pelbagai fasa pada anak.

Akses pelbagai maklumat dalam talian



Generasi muda hari ini dikenali sebagai Generasi Z, menjadi dewasa lebih awal kerana mereka dapat mengakses pelbagai maklumat dalam talian yang mungkin tidak berkaitan dengan pembesaran mereka.

Mereka mudah mengakses sumber terlarang tanpa pengawasan orang dewasa. Oleh itu, kemahiran digital dalam emosi dan moral ibu bapa harus dilengkapkan dan bersedia untuk menghadapi kemahiran digital norma baharu dikuasai generasi muda.

Dengan penggunaan teknologi dan demi kesejahteraan keluarga, ibu bapa dan anak perlu mempunyai komunikasi dua hala lebih kerap untuk mewujudkan hubungan baik dan sihat berterusan.

Ibu bapa juga harus menerapkan prinsip moral dan peka gejala negatif penggunaan teknologi digital kepada anak. Integrasi menerusi media digital memberikan nilai luar biasa kepada komuniti termasuk anak kerana mereka kini bersembang menggunakan platform media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter, WhatsApp dan Telegram.



Pengguna dalam dunia digital mempunyai akses kepada segala macam maklumat tanpa had. Anak zaman ini berhubung, berkongsi maklumat atau idea menerusi mesej elektronik di media sosial.

Oleh itu, penting untuk ibu bapa meningkatkan kesedaran dan menunjukkan contoh positif kepada anak menggunakan peranti secara bijak dan menapis setiap maklumat dicari atau diterima supaya mereka dapat menerapkannya dalam kehidupan.

Pada masa sama, ibu bapa boleh menggalakkan anak yang sedang mengalami perkembangan kecerdasan pelbagai dengan menjalankan beberapa aktiviti menggunakan teknologi digital dengan berkesan.

Pepatah Melayu ada mengatakan ‘melentur buluh biarlah daripada rebungnya’. Oleh itu, asuhan dalam memperkembang potensi kecerdasan pelbagai dalam kalangan anak-anak wajar dilakukan disamping didikan dan asuhan berkaitan perkara lain yang tidak boleh dilakukan secara sambil lewa.



Hal ini penting ke arah melahirkan generasi boleh mencapai kesejahteraan diri seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan keluarga, masyarakat sehingga menjadi modal insan bagi pembangunan negara.

Penulis adalah Ketua, Jabatan Kurikulum dan Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading