Penduduk berdoa harapkan keajaiban

Penduduk berdoa harapkan keajaiban

Penduduk berdoa harapkan keajaiban
SEORANG lelaki menunaikan solat di tapak Masjid Agung yang musnah di Hatay di Turkiye.-AFP

HATAY: Harapan untuk mencari mangsa yang terselamat dalam kejadian gempa bumi semakin tipis ketika pasukan penyelamat yang berperang dengan waktu dihalang oleh masalah keganasan yang terus memuncak di kawasan terjejas.

Pasukan penyelamat masih bertungkus lumus dan penduduk terus berdoa mengharapkan keajaiban ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meramalkan angka kematian di Syria dan Turkiye mencecah 50,000 orang.

Penyelamat Jerman dan tentera Austria dilaporkan terpaksa menghentikan operasi mencari selepas dihambat pertempuran antara kumpulan yang tidak dikenali.



Jurucakap tentera Austria, Leftenan Kolonel Pierre Kugelweis berkata, pertengkaran antara kumpulan di wilayah Hatay mengakibatkan berpuluh-puluh kakitangan dari Unit Bantuan Bencana Angkatan Austria mencari perlindungan di kem pangkalan dengan organisasi antarabangsa lain.

“Terdapat pencerobohan yang semakin meningkat antara puak di Turkiye. Peluang untuk menyelamatkan nyawa tidak mempunyai hubungan yang munasabah dengan risiko keselamatan,” kata Kugelweis.

Menurut Kementerian Pertahanan Austria, anggotanya meneruskan operasi menyelamat selepas tentera Turkiye melangkah masuk untuk menawarkan perlindungan.


DISYORKAN UNTUK ANDA :


Cawangan Jerman bagi kumpulan mencari dan menyelamat Isar dan Agensi Bantuan Teknikal Persekutuan Jerman (TSW) juga menggantung operasi akibat kebimbangan keselamatan.



“Terdapat lebih banyak laporan tentang pertempuran antara puak yang berbeza, tembakan juga telah dilepaskan,” kata jurucakap Isar, Stefan Heine.

Sementara itu, Pengurus Operasi Isar, Steven Bayer menjangkakan situasi keselamatan akan bertambah buruk apabila bekalan makanan dan air semakin berkurangan.

“Kami memerhatikan keadaan keselamatan dengan teliti ketika ia terus memburuk. Pasukan kami hanya akan meneruskan kerja sebaik sahaja pihak berkuasa Turkiye menganggap keadaan sudah selamat,” jelasnya.

Lebih 100 kontraktor ditahan

Ketika kemarahan rakyat memuncak berikutan usaha menyelamat yang perlahan, pegawai kerajaan mula melakukan tindakan menahan ratusan kontraktor.



Kontraktor menjadi sasaran dipersalahkan kerana beberapa bangunan yang runtuh dalam gempa bumi dahsyat Isnin lalu dikatakan dibina tanpa memenuhi keperluan untuk kawasan yang terdedah kepada gempa bumi besar.

Portal The New York Times melaporkan, lebih 100 kontraktor sudah ditahan di 10 wilayah yang terjejas akibat gempa bumi itu.

Agensi Berita Anadolu yang dikendalikan kerajaan melaporkan, Kementerian Kehakiman Turkiye juga mengarahkan pegawai di wilayah terjejas untuk menubuhkan Unit Siasatan Jenayah Gempa Bumi.

Arahan juga diberikan supaya pegawai yang berkenaan melantik pendakwa raya untuk membawa tuduhan jenayah terhadap semua ‘jurubina dan mereka yang bertanggungjawab terhadap keruntuhan bangunan yang gagal memenuhi kod sedia ada.



Tindakan sama turut dilaksanakan selepas bencana serupa di Marmara pada 1999.

Penangkapan itu adalah langkah pertama Turkiye untuk mengenal pasti dan menghukum individu yang mungkin menyumbang kepada kematian rakan senegara mereka dalam gempa bumi itu.

Rakyat sudah meluahkan kemarahan terhadap apa yang mereka pertikaikan sebagai pembina korup yang mengambil jalan pintas untuk meraih keuntungan berganda.

Di kejiranan Saraykint di Antakya, penduduk menunjukkan hasil kerja yang buruk di bangunan mewah 14 tingkat yang baru dibina dan turut menjadi lokasi kira-kira 90 pangsapuri runtuh.



“Ia dibina terlalu cepat. Konkrit itu seperti pasir,” kata seorang penduduk yang berdiri berhampiran bangunan itu sambil melihat penyelamat bekerja.

Antara mereka ditahan ialah Mehmet Ertan Akay, pembina kompleks bangunan yang runtuh di bandar Gaziantep.

Pejabat pendakwaraya Gaziantep berkata, pihaknya mengeluarkan perintah penahanan itu selepas memeriksa bukti yang dikumpul daripada runtuhan kompleks yang dibina syarikat pembinaan milik Mehmet.-AFP/REUTERS

Gelagat kanak-kanak berdoa buat ramai terhibur



Penduduk berdoa harapkan keajaiban


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Umum rehat politik, Azmin takut kalah

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button