Malaysia laksana proses mahkamah di Perancis, cabar tuntutan kumpulan Sulu

KUALA LUMPUR: Malaysia memutuskan mengambil beberapa tindakan perundangan melalui proses mahkamah di Perancis bagi terus mempertahankan kedudukan dan pendirian negara dalam mencabar tuntutan ‘kumpulan Sulu’.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata ia susulan tindakan kumpulan Sulu yang masih meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan award terakhir walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.

“Lanjutan daripada ‘final award’ itu, bermula pelbagai permohonan tindakan penguatkuasaan oleh penuntut (Kesultanan Sulu) di Mahkamah Luxembourg dan Belanda. Perkara ini dijangka tidak akan berhenti hingga satu tindakan dan strategi mutlak diambil oleh kerajaan.

“Tuntutan yang dibuat oleh penuntut ini sudah mengganggu gugat kepentingan aset di luar negara. Dalam hal ini, kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang tuntutan yang dibuat oleh penuntut dan sentiasa komited,” katanya semasa membuat kenyataan menteri di bawah peraturan mesyuarat 14 (1) (i) di Dewan Rakyat, hari ini.



Awal bulan ini, Mahkamah Perlembagaan Sepanyol menolak rayuan perlembagaan luar biasa difailkan sekumpulan individu yang mendakwa diri mereka sebagai waris Kesultanan Sulu berhubung pembatalan pelantikan Dr Gondoza Stampa sebagai penimbang tara dalam kes pertikaian antara Malaysia dan Sulu.

Pada masa sama, Azalina berkata, kerajaan sudah melantik peguam antarabangsa dari Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda untuk mewakili Malaysia dalam prosiding mahkamah di negara berkenaan.

Sekretariat khas tangani tuntutan kumpulan Sulu

Dalam perkembangan berkaitan, Azalina berkata, Kabinet minggu lalu bersetuju mewujudkan sekretariat khas yang berperanan sebagai jawatankuasa bertindak bagi menangani isu tuntutan kumpulan Sulu.



Susulan itu satu platform ‘war room’ turut dibangunkan bagi memberi khidmat sokongan kepada sekretariat khas dan memantau perkembangan kes.

Beliau berkata, sekretariat khas itu juga untuk memastikan perbincangan dan penyelarasan tugasan yang lebih teratur, sistematik dan membabitkan semua pihak yang berkaitan isu ini.

“Sekretariat khas ini dipengerusikan saya dengan Timbalan Pengerusi adalah Peguam Cara Negara II, atau seorang penggantinya.

“Keahlian lain terdiri dari Kementerian Luar, Kementerian Komunikasi dan Digital, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan bahagian penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Peguam Besar Sabah dan pakar perundangan tempatan,” katanya.

Pada masa sama, Azalina berkata, ‘war room’ ini juga dibangunkan bagi memastikan semua tindakan yang diambil, sentiasa dipantau dan mendapat sokongan yang tuntas.

“Tujuan utama ‘war room’ ini adalah bagi memberi khidmat sokongan kepada sekretariat khas serta memantau kes perundangan, media antarabangsa serta strategi global bagi isu menangani tuntutan kumpulan Sulu,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker