Lantikan tetap pegawai perubatan kontrak dijangka selesai Julai

KUALA LUMPUR: Lantikan tetap bagi menempatkan pegawai perubatan kontrak dalam 4,263 kekosongan jawatan dijangka selesai Julai ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Lukanisman berkata, kekosongan itu akan diisi oleh pegawai perubatan kontrak yang berjaya dalam proses temu duga dijalankan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).

“Sehingga 31 Disember lalu, seramai 4,333 pegawai perubatan kontrak dilantik secara tetap dan 20,330 pegawai perubatan masih berstatus kontrak.



“Pada tahun ini, sebanyak 4,263 kekosongan jawatan tetap ditawarkan untuk diisi pegawai perubatan kontrak yang berjaya dalam proses temu duga oleh SPA dan lantikan pegawai perubatan kontrak ini dijangka selepas Julai ini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang minta menteri kesihatan menyatakan apakah langkah segera diambil untuk menghalang penghijrahan kelulusan perubatan mendapatkan pekerjaan di luar negara dan berapa ramai lagi doktor kontrak belum diberikan taraf tetap.

Pada masa sama Lukanisman berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak boleh menghalang mana-mana petugas kesihatan meletakkan jawatan dan berhijrah untuk dapatkan pekerjaan di luar negara.

Katanya, faktor utama penghijrahan pegawai dan pakar perubatan KKM disebabkan insentif dan gaji lebih baik yang ditawarkan sektor kesihatan luar negara khususnya negara maju.



Beliau berkata, penghijrahan pegawai perubatan adalah isu universal dan perlu dilihat secara meluas kerana ia turut berlaku dalma semua bidang kerja lain.

“Gaji permulaan bagi pegawai perubatan di KKM dengan gred UD 41 ialah RM5,197 dengan kenaikan gaji tahunan sebanyak RM225… di mana gaji permulaan ini jauh lebih tinggi berbanding skim perkhidmatan lain di peringkat pengurusan dan profesional bagi gred sama.

“Selain itu, bagi meningkatkan peningkatan kerjaya pegawai dan pakar perubatan, kenaikan pangkat adalah dibuat berdasarkan tempoh masa supaya ia dapat dilaksanakan dengan lebih cepat,” katanya.

Beliau berkata, KKM turut banyak menerima permintaan berhubung perpindahan doktor ‘duka lara’ iaitu yang berjauhan dengan pasangan masing-masing.



Menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung tindakan KKM memastikan kejadian buli dalam kalangan pegawai perubatan baharu tidak berulang, Lukanisman berkata, KKM mewujudkan sistem ‘Myhealth’ untuk menangani isu terbabit.

“Mereka digalakkan mengadu dan berbincang kepada pihak atasan dan kita mengakui wujudnya masalah ini begitu juga dengan senario doktor berpindah ke Sabah dan Sarawak.

“Ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai persiapan mental yang mencukupi dan kita mencadangkan supaya anggota pentadbiran KKM berjumpa secara berkumpulan bagi mengetahui langkah boleh dibuat,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button