Wan Rosdy tanding Naib Presiden Umno

 

Oleh – Editor


Wan Rosdy tanding Naib Presiden Umno

Pengerusi Perhubungan Negeri Umno Pahang, Dato Sri Wan Rosdy Wan Ismail, secara rasmi hari ini menghantar borang pencalonan bagi pemilihan Umno 2023.

Beliau yang memilih untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno menyerahkan borang tersebut di Pejabat Umno Malaysia, WTC pada jam 3 petang.



“Saya insaf dan sedar bahawa kedudukan, imej dan prestasi UMNO semakin merosot di mata rakyat terutama selepas PRU-15.

Atas kesedaran itu, saya berhasrat membantu serta mencurahkan khidmat bakti kepada parti sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti terbesar orang Melayu ini.” – Wan Rosdy Wan Ismail

Wan Rosdy tanding Naib Presiden Umno

Wan Rosdy memohon akar umbi UMNO untuk menilai pengalaman dan sumbangan yang telah beliau berikan kepada parti selama ini, khususnya ketika mencetuskan kemenangan pertama parti di PRK Parlimen Cameron Highlands, selepas PRU-14.

Kebangkitan di Cameron Highlands ini kemudiannya diteruskan di PRK-PRK lain termasuklah di Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini dan Slim River.

UMNO Pahang banyak membantu parti ketika 22 bulan pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan serta membantu kemenangan parti dalam Pilihan Raya Negeri di Sabah, Melaka dan Johor.

Terbaru, UMNO Pahang berjaya bangkit dengan pantas selepas PRU-15, dengan mencipta kemenangan di DUN Tioman yang menjadi benteng terakhir parti ketika mana tsunami politik melanda negara, walaupun ramai yang menjangkakan BN akan tewas teruk seperti mana yang berlaku di Padang Serai.

Malah, pada PRU-15, UMNO Pahang berupaya mempertahankan 17 kerusi DUN yang merupakan bukti keupayaan dan kemampuan UMNO Pahang meskipun tsunami melanda negara.



“Ekoran daripada kejayaan-kejayaan ini serta hasil perbincangan bersama rakan-rakan perjuangan, mereka telah meminta saya untuk meneruskan khidmat bakti dan berkongsi formula kemenangan ini kepada parti dengan cara yang lebih bermakna iaitu melalui jawatan Naib Presiden.” – Wan Rosdy Wan Ismail

Berbekalkan semangat dan iltizam ini serta dengan segala pengalaman yang ada, Wan Rosdy beriltizam dan bertekad untuk membantu kepimpinan parti terutamanya Presiden dan Timbalan Presiden bagi memastikan UMNO kembali bangkit memenangi hati rakyat.


Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker