Homebois nafi gunakan Soloz bagi tujuan pemasaran

Kuala Lumpur: Pasukan Mobile Legends Bang-Bang (MLBB) Malaysia, Homebois menepis dakwaan kehadiran selebriti e-Sukan tanah air, Soloz ke dalam pasukan hanyalah sekadar pemain simpanan dan akan digunakan bagi tujuan pemasaran.

Sebaliknya, pengurus pasukan Homebois, Muhammad Nazreen Nasir memberitahu, Soloz atau nama sebenarnya Muhammad Faris Zakaria keluar dari persaraan selepas melihat potensi pasukan Homebois untuk mencabar kejuaraan Liga Profesional MLBB Malaysia (MPL MY) musim ke-11.

Malah Nazreen percaya, pemain otai itu mempunyai bisanya yang tersendiri dan masih relevan beraksi pada tahap tertinggi.



“Seperti kita tahu legenda (Soloz) sudah kembali. Soloz masih relevan untuk bermain di MPL kerana kalau tengok stream (penstriman langsung) pun dia bantai sahaja orang lain.

“Mungkin Soloz kembali hasil pujukan Daddyhood dan juga nampak barisan pemain Homebois kali ini mempunyai potensi. Kami akan berusaha untuk pastikan dia menjadi juara MPL MY musim ini.

“Kami akan bekerja keras untuk layak ke M5. Kami menghormati semua lawan di MPL kerana kesemua mereka adalah pasukan hebat tetapi Homebois tidak akan mengaku kalah dan berjuang habis-habisan,” katanya.



Untuk rekod, Soloz bukan nama asing dalam dunia Mobile Legends dan pernah membantu Malaysia meraih pingat gangsa kategori permainan video itu pada Sukan SEA Manila 2019.

Bagaimanapun pemain itu memutuskan untuk bersara selepas tamat saingan MPL MY musim keempat bagi memberikan sepenuh tumpuan kepada karier sebagai pencipta kandungan dan penstriman langsung.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button