Bulan madu ‘pengantin lama’

Seperti biasa, tamat sahaja majlis perkahwinan, pasti akan bertanyakan mengenai bulan madu pula.

Malah, ada yang melihat bulan madu adalah tempoh terbaik untuk pasangan yang sudah berkahwin mendapatkan waktu privasi tanpa diganggu orang lain.

Hakikatnya, bulan madu bukan sahaja untuk mereka yang baharu sahaja berkahwin, tetapi ia juga begitu digalakkan untuk mereka yang sudah lama membina rumah tangga.



Bulan madu bukan bermaksud untuk bercuti di lokasi yang mempunyai harga kayangan kerana ingin memberi kejutan kepada pasangan, tetapi ia adalah mengenai masa yang privasi untuk anda dan pasangan sahaja.

Justeru dalam Wanita Metro (WM) kali ini, kami ingin kongsikan beberapa perkara yang boleh memberi manfaat jika anda mempunyai bulan madu bersama pasangan.

1. Dapat memahami pasangan



Apabila anda berada hanya berdua-duan dengan pasangan, ia adalah tempoh terbaik untuk berkomunikasi dan meluahkan rasa yang mungkin terbuku dalam hati.

Di sini anda dapat mempelajari teknik berkomunikasi dengan pasangan dengan baik kerana dengan aura bulan madu itu, pastinya anda ingin menjadi individu yang terbuka dalam setiap luahan pasangan kerana tidak mahu menjadikannya permulaan pertengkaran.

Untuk meluahkan rasa yang mungkin berbau negatif, pastikan setiap tutur kata anda susun sebaik-baiknya dan mengenal pasti waktu sesuai untuk meluahkan perasaan itu.

2. Waktu berehat



Ketika anda berbulan madu pastinya ini adalah waktu terbaik untuk anda dan pasangan berehat daripada perkara yang menjadikan hubungan anda berdua menjadi tegang sebelum ini.

Contohnya ketika berbulan madu, jika mempunyai anak-anak anda tidak membawa mereka bersama kerana ini adalah masa untuk anda dan pasangan sahaja.

Walaupun sebagai ibu bapa tidak dapat lari daripada memikirkan tanggungjawab itu, namun sekurang-kurangnya anda dapat berehat daripada melayan kerenah anak-anak sebentar.



3. Bermesra

Disebabkan lokasi berbulan madu biasanya lebih privasi, ini adalah peluang terbaik anda bermanja dan bermesra dengan pasangan.

Apatah lagi, tanpa gangguan anak-anak. Anda boleh menjadikan tempoh ini seperti kali pertama anda tidur sebantal dengan pasangan anda.

Jangan berasa kekok atau lucu untuk ‘berdrama’ seketika seperti baharu sahaja mengenali pasangan anda kerana ia adalah waktu paling sesuai untuk menghangatkan lagi hubungan intim pasangan.



4. Dapat berasakan diri lebih dihargai

Apabila anda mengatakan kepada pasangan anda untuk pergi berbulan madu, percayalah pasangan anda pasti akan berasa lebih dihargai kerana ia seperti memupuk semula perasaan cinta kali pertama anda bertemu.

Lakukan aktiviti yang boleh menghangatkan lagi hubungan anda. Contohnya, tempah bilik yang mempunyai dekorasi indah dan mempunyai hadiah istimewa.

Kejutan istimewa seperti ini akan menjadikan setiap pasangan merasai diri mereka lebih dihargai dan ia bukan seperti percutian yang lain.



5. Lebih mengenali diri pasangan

Mungkin selepas beberapa tahun anda berkahwin dengan pasangan, minat atau identiti pasangan sedikit berubah seperti aktiviti sukan.

Ketika ini anda boleh mengajak pasangan untuk melakukan aktiviti bersukan yang diminati supaya si dia dapat merasai keseronokan kegiatan sukan yang anda gemari.

Contohnya, anda seorang yang gemar melakukan aktiviti menyelam skuba dan bawa pasangan anda untuk melakukan aktiviti itu bersama. Jadi, pasangan anda dapat merasai pengalaman yang mungkin sebelum ini si dia melihat sesuatu yang membosankan.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button