Selami punca vandalisme remaja, didik tingkah laku positif

Laporan remaja merosakkan harta benda guru, ataupun perbuatan vandalisme ke atas barangan sekolah sejurus tamatnya penggal persekolahan pernah beberapa kali berlaku.

Perbuatan seperti ini, walaupun ia seolah-oleh kes terpencil, sudah pastinya menyebabkan kerugian kepada harta persendirian dan harta awam. Ia juga menyebabkan tekanan emosi bagi individu yang terjejas secara langsung oleh kerosakan harta benda malah mencetuskan kebimbangan dan kerisauan kepada masyarakat secara umum.

Vandalisme perbuatan merosakkan harta benda awam, bukan sahaja satu perlakuan jenayah, tetapi dilihat sebagai perbuatan yang tidak bermoral dan bertanggungjawab.



Dari sudut psikologi, ia menjelaskan mengenai perlakuan agresif pelajar disebabkan oleh kegagalannya memenuhi lima keperluan asas iaitu kasih sayang, keseronokan, kebebasan, kuasa dan kelangsungan kehidupan.

Remaja mungkin terbabit dalam vandalisme kerana kebosanan dan mereka merasa teruja serta seronok apabila berjaya melakukan kemusnahan. Mereka juga mungkin melakukannya sebagai satu cara untuk menyesuaikan diri atau mendapat tempat dalam kalangan rakan sebaya atau suatu kumpulan tertentu.

Selain mahu menyatakan kemarahan atau kekecewaan terhadap orang atau suatu situasi yang tidak disenangi, sesetengah remaja percaya bahawa mereka akan terlepas daripada sebarang tindakan.



Dikhuatiri remaja yang terbabit vandalisme tidak memahami sepenuhnya atau menghargai kesan tindakan mereka terhadap orang lain atau masyarakat secara keseluruhan. Malah mereka gagal memahami bahawa harta awam memerlukan kos yang besar untuk diselenggara.

Didik, pembabitan aktiviti positif

Justeru, remaja perlu dididik bahawa harta dan ruang awam harus dihormati serta disayangi umpama ia adalah milik peribadi. Ia tidak seharusnya dirosakkan supaya dapat digunakan dalam jangka masa panjang dan bermanfaat kepada orang lain.



Selain daripada pendekatan pendidikan formal, remaja perlu digalakkan di dalam pelbagai pembabitan aktiviti positif dari awal untuk mendidik sifat empati dan sikap tanggungjawab sosial mereka.

Ini diharap turut menerapkan nilai murni dan jati diri supaya mereka mampu menangani isu asas seperti tekanan rakan sebaya atau kebosanan melampau.

Remaja perlu memahami bahawa sebarang tindakan mereka, buruk atau pun baik mempunyai akibat.

Ini boleh dilaksanakan dengan penerapan sikap akauntabiliti menerusi langkah sesuai dan mampu mengukuhkan mesej bahawa vandalisme atau bentuk tingkah laku yang merosakkan tidak boleh diterima.



Strategi perlu dirangka dengan sokongan dan peneguhan berterusan dalam membantu remaja membangunkan tabiat dan tingkah laku yang positif supaya mereka belajar menghormati harta awam serta menjadi ahli komuniti yang bertanggungjawab.

Siti Hajar Abd Aziz dan Siti Nur Farrah Faadiah Ab Ghani
Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button