Keluarga Messi diancam samseng

ROSARIO, Argentina: Dua lelaki melepaskan tembakan pada awal pagi semalam di sebuah pasaraya dimiliki keluarga isteri Lionel Messi sebelum mereka meninggalkan nota ancaman di lantai yang menyasarkan pemenang tujuh kali Ballon d’Or itu.

“Messi, kami menanti anda. Javkin ialah penjenayah, dia tidak akan menjaga anda,” kata mesej tulisan tangan ditinggalkan lelaki terbabit yang melepaskan 14 tembakan semalam.

Pablo Javkin ialah Datuk Bandar di tempat kelahiran Messi, Rosario, tempat pasaraya itu beroperasi, kira-kira 320 kilometer dari Buenos Aires.



Javkin mengesahkan premis berkenaan dimiliki keluarga Antonela Roccuzzo, yang memiliki tiga anak bersama bintang bola sepak berkenaan dan dia berkata serangan itu “mahu mencipta kekecohan di bandar berkenaan.”

“Di sini, apa yang dicari ialah akibat perbuatan itu, ia sesuatu yang teruk,” katanya. “Cerita apa yang paling cepat tersebar di dunia selain serangan terhadap Messi?”

Saksi mengesahkan ada melihat dua lelaki tiba dengan motorsikal pada kira-kira jam 3 pagi. Seorang daripadanya melepaskan tembakan dan meninggalkan nota berkenaan sebelum beredar.



“Ini sudah berlaku sejak beberapa lama,” kata Javkin. “Kami ada lima pegawai keselamatan beroperasi di Rosario, tapi mereka masih melakukan perkara ini kerana tiada siapa mengejar mereka.”

Penolong ketua polis wilayah, Ivan Gonzalez memberitahu televisyen Cadena 3 bahawa mesej berkenaan “bukan ancaman” tetapi lebih kepada cubaan “mencari perhatian.”

Katanya tiada siapa cedera kerana tiada orang di premis berkenaan pada ketika itu.

Pegawai yang mengendalikan kes berkenaan, Federico Rebola, memberitahu wartawan bahawa tiada kes ancaman membabitkan keluarga Roccuzzo sebelum ini.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button