3 kampung Orang Asli terputus hubungan

JAKOA hantar bantuan guna helikopter JBPM

ROMPIN: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang mendapatkan bantuan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi menghantar bekalan makanan ke tiga perkampungan Orang Asli di daerah ini, semalam, susulan kawasan berkenaan terputus hubungan akibat banjir dan tanah runtuh.

Bantuan berkenaan disampaikan kepada seramai 2,198 ketua isi rumah (KIR) di Kampung Orang Asli (KOA) Tanah Runtuh, KOA Langkap Lama dan KOA Mentelong, bagi kegunaan antara empat hari hingga seminggu bergantung pada jumlah ahli keluarga.

Pengarah JAKOA Pahang, Johari Alwi, berkata pihaknya turut menggunakan bantuan lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menghantar bekalan makanan, kelmarin, kepada penduduk Orang Asli yang terjejas dengan bencana banjir di daerah ini.

Katanya, jabatan itu akan terus memantau keadaan masyarakat Orang Asli di negeri ini yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh, jalan terputus serta kampung ditenggelami banjir, bagi memastikan mereka tidak terputus bekalan makan dan sentiasa berada di tempat selamat.

Selain itu, beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu JAKOA dalam usaha berkaitan.

“JKM menyediakan bantuan bakul makanan kepada setiap KIR, manakala APM pula membantu memindahkan penduduk yang rumah mereka ditenggelami banjir.

“Kakitangan JAKOA daerah, terutama di Rompin, kini bertugas 24 jam dalam usaha memastikan masyarakat Orang Asli di beberapa perkampungan yang terjejas banjir, tidak menghadapi masalah terutama dari segi bekalan makanan, selain membantu menempatkan mereka di pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi, di sini.

Johari berkata, bantuan bekalan makanan akan terus disalurkan dari semasa ke semasa mengikut keperluan, dengan menggunakan helikopter JBPM dan lori ATM.

Katanya, mangsa banjir dalam kalangan Orang Asli di daerah ini dijangka meningkat berikutan hujan berterusan yang menyebabkan perkampungan berhampiran sungai dan di kawasan rendah dinaiki air.

Bagaimanapun, beliau berkata, misi menghantar bantuan makanan menggunakan helikopter JBPM bergantung pada keadaan cuaca.

“Kita turut menggunakan aset jabatan di daerah dan negeri serta Unit Logistik di ibu pejabat JAKOA untuk misi penghantaran bakul makanan ke perkampungan Orang Asli yang terjejas banjir,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker