Pemandu ‘lalok’ punca kemalangan tiga kenderaan

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang lelaki yang memandu dalam keadaan ‘lalok’ menyebabkan berlaku kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Ipoh, Batu 5 menghala ke Batu Muda, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari, Jumaat lalu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila pemandu kereta Nissan Sentra iaitu seorang lelaki berusia 25 tahun terlelap ketika pemanduan.



“Ia menyebabkan kereta itu melanggar bahagian belakang lori jenis Hino yang berada di hadapannya.

“Akibat perlanggaran itu, lori berkenaan bergerak ke hadapan dan melanggar bahagian belakang sebuah motosikal di lorong sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Eng Lai berkata, kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal terbabit terjatuh.

“Dalam kemalangan itu, tiada sebarang kecederaan dilaporkan membabitkan pemandu dan penunggang kenderaaan terbabit.



“Anggota polis trafik yang tiba di lokasi kejadian mendapati pemandu dan penumpang Nissan Sentra berkenaan dalam keadaan mencurigakan apabila pemandu serta penumpang lelaki berusia 32 tahun tidak sedarkan diri,” katanya.

Susulan itu, katanya, kedua-dua suspek lelaki berkenaan dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk menjalani ujian saringan air kencing di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Hasil pemeriksaan dilakukan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methaphetamin, ketamin, benzo (eramin 5), amphetamin dan ganja (THC).

“Kedua-dua suspek berkenaan ditahan dan disiasat oleh IPD Dang Wangi,” katanya.



Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 44 saat menunjukkan dua lelaki di dalam kereta Nissan Sentra berkenaan tidak sedarkan diri selepas kemalangan itu meskipun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian terbabit, tular di media sosial, semalam.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button