Dua bulan ‘berkampung’ di hospital

Gua Musang: “Doa saya tidak pernah putus semoga isteri akan pulih seperti biasa dan selama dia sakit, saya tidak pernah meninggalkannya.”

Begitu kata Roslan Hek, 57, lelaki Orang Asli suku kaum Batek dari Kampung Aring 5, di sini, yang setia ‘berkampung’ di hospital untuk menemani isterinya menerima rawatan selepas terlantar koma akibat penyakit darah tinggi sejak dua bulan lalu.

Roslan berkata, isterinya Hamisah Batu, 40-an, sebelum ini dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP), Kuala Krai selepas mengadu tidak sihat dan pening kepala.

Menurutnya, wanita itu ditahan wad di hospital berkenaan lebih tiga minggu sebelum dirujuk ke Hospital Gua Musang sehingga kini.

“Saya rasa bertanggungjawab sepenuhnya untuk menjaga isteri yang telantar sejak dua bulan lalu selepas mengadu sakit kepala.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, dia juga memberikan susu khas melalui tiub yang dipasang menerusi hidung isterinya selain perlu membuang kahaknya.

Menurutnya, setiap minggu isterinya memerlukan lebih 10 keping lampin pakai buang, manakala susu yang diberikan kepada isteri adalah sumbangan pihak hospital.

“Semua keperluan isteri seperti lampin pakai buang dan tisu basah menggunakan perbelanjaan sendiri sedangkan saya sudah dua bulan tidak bekerja.

“Saya perlu membelanjakan sekitar RM200 sebulan untuk keperluan isteri dan adakalanya saya buntu apabila memikirkan kos kewangan.

“Mungkin bagi sesetengah orang nilai RM200 itu kecil, tapi bagi kami orang Asli, kami tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya menjual hasil hutan,” katanya.

Katanya, sepanjang ketiadaannya di rumah, anak perempuan berusia 12 tahun dijaga abangnya berusia 21 tahun, manakala anak sulung berusia 30-an sudah berkahwin.

“Semalam (kelmarin) saya berasa gembira apabila mendapat tindak balas positif apabila isteri yang hanya terlantar dilihat seakan menangis apabila ada air mata keluar.

“Mungkin apabila dibenarkan keluar saya akan mengambil alih menjaganya,” katanya yang sudah hampir 30 tahun berkahwin.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker