SPRM ‘intai’ anak pemimpin politik susulan kes Jana Wibawa

KUALA LUMPUR: Anak kepada seorang pemimpin politik dikatakan berada dalam radar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika agensi antirasuah itu memperluaskan siasatannya berhubung program Jana Wibawa.

Sumber rapat dengan perkara itu berkata, penahanan lelaki dikenali ‘Datuk Roy’ yang dipercayai mendalangi kes rasuah dikaitkan dengan program itu, mendedahkan bahawa anak ahli politik itu yang juga seorang ahli perniagaan, juga disiasat.

Menurut sumber itu, nama ahli perniagaan itu ‘bocor’ selepas Datuk Roy memperoleh senarai nama yang dikaitkan dengan program Jana Wibawa daripada kenalan SPRM, yang dikatakan seorang pegawai kanan.



“Datuk Roy menghubungi mereka yang berada dalam senarai itu, menawarkan untuk membantu mengelak tindakan dikenakan terhadap mereka, untuk mendapat bayaran sebagai balasan,” kata sumber itu kepada FMT.

Datuk Roy dipercayai menerima sejumlah wang daripada seseorang yang rapat dengan pemimpin politik itu bagi membantu ahli perniagaan terbabit daripada ditahan reman.

Sumber sama juga menggambarkan Datuk Roy sebagai seorang oportunis yang mencari mangsa dalam kalangan suspek SPRM.

“Dia melihat peluang untuk membuat wang daripada mereka yang disiasat dalam kes berprofil tinggi,” kata sumber itu.



Pada 9 Mac lalu, SPRM menahan empat individu termasuk seorang pegawai SPRM selepas laporan dibuat oleh ahli keluarga pemimpin politik itu.

Dalam pada itu, Datuk Roy yang ditahan SPRM petang semalam dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini, pagi ini untuk mendapatkan perintah tahan reman.

Lelaki itu ditahan jam 3 petang semalam ketika hadir untuk memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab Rahman mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button