Kes lelaki Israel, 4 lagi individu ditahan

Oleh – Syeikh Baran


Kes lelaki Israel, 4 lagi individu ditahan
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain

Empat individu ditahan semalam dipercayai mempunyai kaitan dengan lelaki warga Israel yang ditahan bersama enam senjata api di sebuah hotel pada 27 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tangkapan semua suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun dilakukan di Johor.



“Kita ada buat tangkapan terhadap empat lagi individu berkaitan kes berkenaan (suspek Israel).

“Suspek terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita itu berjaya ditahan di sekitar Skudai dan Gelang Patah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Razarudin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan keempat-empat individu itu dalam kes berkenaan.

“Tangkapan terbaharu ini sekali gus menjadikan seramai lapan individu sudah ditahan,” katanya.



Sementara itu, mengenai reman suami isteri warga tempatan, Razarudin berkata, pihaknya akan memohon untuk melanjutkan tempoh perintah reman sebaik ia tamat esok.

Pasangan itu yang ditahan di bazar Ramadan di Kuala Selangor pada 29 Mac lalu disyaki memperoleh pistol dari negara jiran sebelum menjualnya kepada suspek utama dengan pembayaran menggunakan mata wang kripto.

“Setakat ini pasangan berkenaan direman sehingga esok untuk siasatan bersama suspek utama mengikut Seksyen 7 Akta Senjata Api,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan lelaki Israel ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang pada 27 Mac lalu bersama enam pistol dan 200 peluru.



Dia dipercayai memasuki negara menggunakan pasport Perancis pada 12 Mac lalu dan polis turut menahan seorang lelaki di Cameron Highlands, Pahang, yang dipercayai menjadi pemandu kepadanya.

Sumber – HARIAN METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button