Sultan Johor titah pecat AJK masjid, surau bawa penceramah tiada tauliah

Iskandar Puteri: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau dipecat, sekiranya membenarkan penceramah tanpa tauliah berceramah mahupun mengajar agama di negeri itu

Titah baginda, mana-mana penceramah agama yang hendak menyampaikan ceramah di Johor mestilah memiliki tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Sehubungan itu, baginda menitahkan semua AJK masjid dan surau yang hendak menganjurkan ceramah agama supaya mendapatkan kebenaran daripada MAINJ menerusi Pejabat Kadi Daerah.

“Permohonan kebenaran itu perlu menyatakan secara terperinci tajuk ceramah serta perkara yang ingin disampaikan ketika memberi ceramah agama.



“Sekiranya ada mana-mana masjid dan surau yang gagal patuhi peraturan ini, maka semua AJK masjid dan surau itu akan diambil tindakan serta dipecat.

“Tindakan tegas ini bukanlah untuk menghalang program penyebaran ilmu Islam tetapi adalah untuk mengawal penyebaran fahaman yang menyeleweng dan terpesong daripada hukum syarak yang berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah di negeri ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Pada 8 Mac lalu, Sultan Ibrahim dilaporkan memperkenankan langkah MAINJ untuk mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana individu yang didapati mengajar atau memberi syarahan agama Islam tanpa tauliah di negeri ini.



Tindakan undang-undang juga dilaporkan akan diambil terhadap penganjur acara atau program berkenaan yang dianggap sebagai bersubahat.

Mana-mana penganjur kepada acara mengajar dan memberi syarahan agama Islam menggunakan penceramah yang tidak bertauliah dari MAINJ adalah melakukan satu kesalahan penyubahatan di bawah Seksyen 43 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dedenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau sedua-duanya sekali,” katanya.

Mereka yang didapati mengajar dan memberi syarahan agama Islam di negeri ini tanpa tauliah adalah melakukan kesalahan yang boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003 dan Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997.

Mereka yang diambil tindakan atas kesalahan itu boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah, langkah tegas yang diambil itu juga adalah bagi mengawal golongan pelampau agama yang boleh mencetuskan kekeliruan kepada umat Islam dan golongan muda yang kurang berilmu.

“Sehubungan itu juga, kerajaan harus meningkat mutu pendidikan di sekolah dan pusat pengajian tinggi bagi melahirkan generasi masa depan yangtinggi ilmu pengetahuan,” titah baginda.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker