Dua lelaki ‘jual’ darjah kebesaran Selangor

Shah Alam: Dua lelaki warga tempatan ditahan dipercayai terbabit dalam penipuan menjual Darjah Kebesaran Negeri Selangor iaitu Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS).

Kedua-dua suspek ditahan menerusi dua serbuan polis di Melaka dan Selangor, pada 15 dan 17 Mac lalu.

Turut dirampas dalam serbuan berkenaan, surat palsu dan beberapa telefon bimbit yang digunakan oleh kedua-dua suspek.



Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya pada Februari lalu menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa dirinya ditipu dalam urusan mendapatkan pengurniaan darjah berkenaan dengan syarat membuat bayaran sumbangan sebanyak RM600,000.

Katanya, bagi meyakinkan mangsa, suspek memberikan surat kononnya dikeluarkan oleh pihak istana bagi pengurniaan darjah berkenaan.

“Akibat terpedaya dengan penipuan dan surat diterima, mangsa menyerahkan wang sebanyak RM140,000 secara berperingkat.

“Bagaimanapun, mangsa kemudian merasa tertipu apabila mendapati namanya tidak ada dalam senarai penerima darjah, justeru mangsa tidak menjelaskan baki bayaran dan membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.



Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan penipuan.

Jelasnya, pihak istana mengesahkan bahawa surat itu tidak pernah dikeluarkan dan ia adalah palsu.

“Kedua-dua suspek berkenaan akan dituduh hari ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button