Bekalan telur ayam kembali meruncing

Kuala Terengganu: Bekalan telur ayam di beberapa daerah di negeri ini kembali meruncing.

Tinjauan di empat pemborong di Marang dan di sekitar bandar raya Kuala Terengganu mendapati ruang penyimpanan telur kosong.

Seorang penyelia syarikat pemborong telur ayam di Cabang Tiga, di sini, Nursyzanil Adha Ramli, berkata kali terakhir menerima bekalan telur ayam sebanyak 4,200 papan mengandungi 126,000 biji adalah Selasa lalu.



“Sepatutnya pembekal menghantar 5,000 papan bekalan telur ayam pagi ini.

“Tetapi sehingga tengah hari ini kelibat lori pun tidak muncul,” katanya yang turut mengesahkan bekalan dihadkan hanya sebanyak 5,000 papan, tidak termasuk telur putih dan kotor.

Seorang lagi pemborong, Jason Tan, berkata kali terakhir syarikatnya menerima bekalan telur ayam sebanyak 4,500 papan mengandungi 135,000 biji Khamis minggu lalu.

Katanya, sepatutnya bekalan yang dipesan daripada pembekal di Melaka dihantar Ahad dan Isnin lalu, tetapi ia tidak dihantar seperti dijadualkan.



“Syarikat pembekal juga mengehadkan bekalan iaitu antara 4,500 dan 5,000 papan sekali penghantaran,” katanya.

Sementara itu, seorang surirumah, Siti Aisah Aziz, 36, dari Kampung Undang, Marang, berkata, dia sudah ke beberapa kedai runcit dan syarikat pemborong untuk membeli hanya sepapan telur, tetapi tiada bekalan.

Seorang peniaga roti John, Mohd Syahir Mohammad, 38, dari Kampung Tebuk, di sini, mengakui bukan sahaja menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bekalan, malah harganya juga tidak menentu.



“Akibatnya, kebanyakan peniaga roti John termasuk yang berniaga di bazar Ramadan terpaksa menaikkan harga kepada RM8 sebiji, berbanding antara RM6.50 dan RM7.00 Ramadan tahun lalu,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button